Surat Malaysiakini

Bagaimana kelab gay beroperasi 30 tahun di KL?

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH WP) menyambut baik tindakan tegas pihak berkuasa mengadakan operasi banteras aktiviti haram (BAH) di sebuah kelab malam gay terkenal di Kuala Lumpur dua hari lepas.

Dalam Operasi BAH di Bukit Bintang kelmarin, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah kelab gay yang didakwa beroperasi lebih 30 tahun dan menahan kira-kira 60 lelaki termasuk pengunjung dan pelayan, serta dua wanita yang bekerja di kelab itu.

Operasi itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

AMANAH WP menganggap operasi ini amat berjaya bagi mengekang budaya songsang daripada menular dalam negara ini.

Di saat kerajaan Pakatan Harapan difitnah dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan antaranya terlalu berlembut dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kerajaan pula tidak teragak-agak dalam mengadakan operasi terbabit hasil daripada aduan orang ramai.

Meskipun kerajaan terbuka mengadakan dialog dan bertemu dengan golongan terbabit dengan LGBT, tetapi dalam soal undang-undang dan peraturan, kerajaan bertindak tegas dengan tidak ada sesiapa yang mampu melangkaui daripada undang-undang negara ini.

Namun AMANAH WP merasa musykil bagaimana premis terbabit yang didakwa beroperasi lebih dari 30 tahun lamanya.

Mengapa kerajaan terdahulu tidak membanteras aktiviti seperti ini lebih awal dengan mengadakan serbuan dan menyita kelab malam ini?

Jika ia telah beroperasi selama lebih 30 tahun, ini bermakna mereka telah mengadakan pelbagai aktiviti termasuk parti liar dan menambah jumlah pengunjung daripada pelbagai kelompok masyarakat.

Mungkin juga kelab malam ini menjadi pusat tarikan daripada golongan songsang dalam negara mahupun golongan daripada luar negara.

Soalnya, mungkinkah ada lagi kelab malam seperti ini yang bercambah tumbuh di tengah bandar raya dan berapa ramai jumlah mereka di seluruh negara?

AMANAH WP dan masyarakat Malaysia pastinya merasa malu jika budaya liar dan songsang ini diberi tempat dan negara dikenali antara destinasi popular untuk golongan LGBT.

AMANAH WP berharap agar pihak Kementerian Wilayah Persekutuan bersama pasukan penguat kuasa dapat bertindak secara proaktif.

Ini dengan menjalankan siasatan menyeluruh di sekitar Kuala Lumpur di samping kerap mengadakan serbuan di kelab-kelab malam yang diketahui aktif menjalankan aktiviti songsang, pelacuran, penyalahgunaan dadah, jenayah dan kumpulan kongsi gelap.

Apa yang diharapkan, kepesatan pembangunan bandar raya Kuala Lumpur perlu dihiasi dan seiring dengan budaya murni, tatasusila dan akhlak yang baik serta menjaga kebersihan oleh anggota masyarakatnya agar menjadi teladan kepada bandaraya lain di dalam dan luar negara.


AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI ialah naib pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.