Surat Malaysiakini

Sejauh mana kejayaan PAS T'ganu tunai manifesto?

Muammar Gaddafi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemimpin PAS Terengganu masih terus pertahankan pengumuman berhubung "kejayaan" mereka menunaikan lima manifesto PAS Terengganu yang sebelum ini disanggah ketua pemuda AMANAH negeri, Hasbie Muda sebagai cubaan mengelirukan rakyat.

Antara tiga cubaan mengelirukan rakyat oleh PAS Terengganu adalah pemberian air percuma yang seolah-olah satu inisiatif baru.

Sedangkan ia telah dilaksanakan di zaman pentadbiran BN sebelum ini, bahkan lebih meluas ketika itu - iaitu melibatkan lebih 500,000 penerima.

PAS Terengganu juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa kejayaan mereka melaksanakan "karnival Kahwin" sedangkan ia adalah program yang berlangsung di zaman BN lagi.

Cuma namanya ditukar daripada "perkahwinan perdana" kepada karnival kahwin.

Kerajaan persekutuan sendiri menukar nama Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR), tapi tidaklah terdesak seperti PAS untuk mendakwanya kejayaan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Yang ketiga, menurut Hasbie Muda, adalah apabila mendakwa 7600 peluang pekerjaan sudah wujud di Terengganu walaupun Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekadar membuat pengumuman berhubung projek Lembah Silika, dan jumlah peluang pekerjaan yang disebut itu pun anggaran sahaja.

Tentera maya PAS cuba menggambarkan seolah-olah pentadbiran PAS yang berperanan memajukan industri silika di Terengganu, walau hakikatnya ia telah bermula sejak zaman pentadbiran Ahmad Said lagi.

'Jangan menangguk di air keruh'

Satu-satunya kejayaan PAS di Terengganu adalah berjaya membina pencapaian palsu melalui media sosial, tiada apa yang boleh dikatakan berubah untuk rakyat negeri itu pasca-100 hari pentadbiran baru.

Mereka kitar semula inisiatif lama kerajaan terdahulu dan mendabik dada ia kejayaan mereka.

PAS sepatutnya cermin diri sebelum cuba memberi gred atau menilai prestasi pentadbiran HARAPAN. Sangat janggal untuk mempertikai pentadbiran lain sedangkan pentadbiran sendiri tidak membawa apa-apa perubahan kepada hidup rakyat.

PAS juga wajar berhenti menangguk di air yang keruh dan menjaja kononnya HARAPAN gagal menunaikan janji, kerana hakikatnya pemimpin kerajaan hari ini sedang berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tawaran mereka kepada rakyat.

Apatah lagi janji itu mampu mengubah nasib rakyat bukan janji melaksanakan program kitar semula.

PAS menang di Terengganu kerana rakyat menolak pentadbiran Najib. Jika mereka tidak serius membawa perubahan yang memberi kebaikan kepada rakyat, bersedialah untuk mentadbir selama sepenggal saja, seperti apa yang berlaku tidak lama dulu.


MUAMMAR GADDAFI ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.