Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Kenapa isu Tabung Haji tak seriuh tudung pramugari?

Akhbar The Malaysian Reserve melaporkan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang meramalkan berkemungkinan ada lagi beberapa skandal yang mungkin dibawa ke mahkamah selain skandal yang berkait dengan 1MDB.

Antaranya, dilaporkan skandal yang melibatkan Lembaga Urusan Tabung Haji (LTH). Apapun, itu sekadar ramalan. Jangan risau.

Sedikit sejarah LTH. Ia bermula dari penubuhan dua badan yang bertanggungjawab mentadbir urusan haji iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal Bakal Haji dan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Badan yang kedua ini berpusat di Pulau Pinang.

Perbadanan Tabung Bakal Bakal Haji ditubuhkan pada tahun 1962. Ia hasil kertas kerja yang disediakan oleh Prof Diraja Ungku Aziz pada tahun 1959 yang bertajuk  Plan to Improve The Economy of Prospective Pilgrims.

Antara lain, kata Pak Ungku, ramai petani melayu-muslim yang berpendapatan rendah yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk tunaikan haji. Mereka terpaksa jual tanah dan harta simpanan mereka untuk kumpul wang untuk pergi haji.

Siapa tidak marah

Dua badan yang saya kata tadi akhirnya disatukan pada tahun 1969 bagi membentuk LTH melalui satu Akta Parlimen iaitu Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.

Melalui LTH, kerajaan memberi subsidi kos untuk pergi haji. Dilaporkan misalnya kerajaan tanggung RM9,000 bagi setiap bakal haji. Kita amat sokong polisi ini.

Pada peringkat awal, LTH hanya melabur di sektor pertanian melalui anak syarikatnya, Syarikat Perbadanan Ladang-Ladang Tabung Haji Sdn Bhd.

Mulai tahun 1980, ia mula mempelbagaikan portfolio pelaburannya melalui penglibatan dalam sektor pembuatan (manufacturing), perumahan dan pertanian.

Kewujudan Akta Tabung Haji 1995 adalah bagi mempelbagaikan lagi skop dan fungsi LTH. Pada tahun 2013, tabung LTH mencecah RM45.7 bilion dengan 8.3 juta ahli.

20 peratus dari portfolio LTH adalah dalam pelaburan harta manakala 50 peratus dalam pelaburan ekuiti.

Dari sejarah ringkas di atas, siapalah yang tidak marah apabila membaca ada yang tak kena dengan LTH. Lagi meluap dan menggelegak bila kita baca dan dengar wang LTH dilibatkan dengan isu 1MDB.

Misalnya, isu LTH tawar untuk beli tanah TRX. Dilaporkan media, LTH beli hartanah tersebut dengan harga 43 kali ganda dari harga 1MDB bayar pada kerajaan.

Apabila isu pramugari MAS tidak bertudung, hidangan arak di dalam penerbangan atau isu LGBT para agamawan relatifnya agak riuh dan bersemangat.

Baguslah. Cuma bila isu LTH, jika riuh pun, ia tak seriuh isu-isu yang saya sebut itu. Tak tahu kenapa?


HANIPA MAIDIN merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan anggota parlimen Sepang.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS