Surat Malaysiakini

Bidani kerjasama rasmi Umno-PAS di Terengganu

Muammar Qaddafi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Besar Terengganu Dr Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, jalinan kerjasama antara PAS dengan Umno dilihat sebagai sebahagian daripada konsep Gagasan Sejahtera.

Kenyataan itu berkait dengan kerjasama PAS dan Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) di Seri Setia.

Apa yang kita dapat lihat, keikhlasan Umno lebih ketara berbanding PAS apabila ramai pimpinan parti Melayu itu turun membantu kempen di Seri Setia berbanding PRK Sungai Kandis yang menyaksikan masih ada kejanggalan dan sorok-sorok dalam menyatakan sokongan.

PAS dan Umno mempunyai sejarah pertembungan yang agak lama walaupun pernah bersama dalam BN pada awal 1970-an.

Selepas tersingkir, hubungan PAS dan Umno menjadi buruk. Umno dianggap sebagai musuh utama untuk satu tempoh yang sangat panjang, atau lebih tepat hingga 2009.

Dasyatnya perpecahan ini hingga timbul isu sembelihan tidak sah, akad nikah tidak sah, kafir-mengkafir dan sebagainya.

Kemudian ia sedikit demi sedikit cuba dijernihkan pada melalui idea Kerajaan Perpaduan pada 2009 yang menjadi perbahasan hangat pada ketika itu namun tidak mampu pergi jauh kerana halangan Mursidul Am PAS ketika itu, almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Buktikan gagasan diterima

Pertembungan puluhan tahun itu sebenarnya adalah satu "barrier" hingga kerjasama PAS - Umno akan kekal dilihat janggal oleh sesetengah pihak walaupun ia sudah dijangka dan disebut sebut sejak beberapa tahun lalu.

Apabila Nik Abdul Aziz meninggal dan kumpulan menyokong Pakatan Rakyat di dalam PAS tersingkir, kini hanya ada satu halangan untuk merealisasikan cita-cita kerjasama Pas - Umno, iaitu "kejanggalan" yang disebut tadi.

Ia masih ada walaupun Samsuri mendakwa penyokong sudah makin menerima konsep Gagasan Sejahtera yang turut melibatkan Umno.

Ia dinyatakan selepas beberapa minggu lalu kita menyaksikan penyokong PAS masih enggan memberikan undi mereka kepada calon Umno di Sungai Kandis.

Saya percaya penyokong Umno mampu memberi undi kepada PAS di Seri Setia tapi tidak mustahil pada masa sama PAS sendiri akan kehilangan penyokong terdahulu.

Doktrin yang diterima ahli PAS untuk menentang Umno sejak puluhan tahun lalu tidak mudah untuk dilunturkan hanya dengan ucapan ucapan anti-DAP dan Pakatan Harapan.

Apatah lagi banyak isu isu berbangkit telah terjawab dan ternyata banyak antaranya adalah fitnah termasuklah apabila baru-baru ini ada muslimah PAS yang memfitnah Khalid Samad dan Mujahid Yusof.

PAS sebenarnya perlu bertindak lebih gigih untuk menjayakan kerjasama mereka dengan Umno walaupun itu bermakna mereka terpaksa menerima hakikat bahawa setiap dakwaan bekas pemimpin mereka - seperti Mohamad Sabu, Husam Musa dan Mahfuz Omar - sebelum ini akhirnya terbukti benar.

Sejak sekian lama pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) memang menegaskan bahawa PAS memang ingin bekerjasama dengan Umno sejak parti itu masih bersama Pakatan Rakyat.

Terengganu adalah negeri yang menyaksikan pertembungan paling keras antara PAS dan Umno suatu ketika dulu.

Di negeri itulah berlakukan sembahyang dua imam, isu sembelihan tidak sah dan amalan takfiri.

Dan hari ini, untuk mengeratkan kerjasama politik PAS dan Umno,, sesuailah ia dimulakan secara rasmi di di Terengganu. Jika ia berjaya dan diterima, maka tanpa banyak soal penyokong parti di negeri lain akan akur.

Terengganu sekarang ditadbir oleh PAS yang dipimpin Samsuri. Sekiranya benar Gagasan Sejahtera dan idea politik matang sudah diterima oleh penyokong PAS sebagaimana didakwa Samsuri, maka tiada salahnya kerjasama ini diwujudkan di negeri itu.

Ia sekali gus mampu meleburkan "barrier" yang terbina di antara PAS dan Umno sejak sekian lama.

Tiada alasan untuk terus menangguhkan lagi kerjasama di peringkat negeri-negeri, apatah lagi dengan keyakinan PAS bahawa idea itu disokong setiap ahlinya.

Kerjasama terpilih di negeri terpilih hanya akan memperlihatkan PAS sebenarnya bersifat berpilih-pilih untuk berkawan dan mementingkan parti sendiri semata-mata.

Sekiranya begitu, ia adalah petanda awal kegagalan kerjasama PAS-Umno yang belum pun memasuki hari ke-100.

Pakatan Harapan tentu sahaja tidak akan mendapat sebarang kelebihan melalui kerjasama PAS - Umno. Mereka mungkin hanya akan tersenyum melihat pemimpin PAS menelan kembali ludah mereka sebelum ini.


MUAMMAR QADDAFI ialah pembaca Malaysiakini.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.