Malaysiakini Surat

Terengganu wajar contohi amalan isytihar harta HARAPAN

Muammar Qaddafi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemuda AMANAH Terengganu menyokong penuh inisiatif Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memaparkan pengisytiharan harta anggota parlimen serta kabinet Pakatan Harapan kepada umum.

Pengistiharan harta membolehkan orang ramai memantau sebarang pengumpulan kekayaan selama bertahun-tahun oleh penjawat awam.

Ini merupakan langkah awal sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti.

Pada masa yang sama, Pemuda AMANAH Terengganu menggesa pemimpin kerajaan negeri Terengganu yang dikuasai PAS - termasuk anggota dewan undangan negeri (ADUN) dan exconya - untuk turut mengambil inisiatif serupa dengan mengistiharkan harta dan dipaparkan kepada umum.

Langkah ini untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka diketahui rakyat, termasuklah harta pasangan masing-masing serta ahli keluarga terdekat, terutama bagi yang baru terpilih menjadi ADUN dan exco.

Pasti juga merupakan langkah yang tepat untuk dilaksanakan memandangkan Terengganu bakal menerima royalti minyak.

Barulah wujud keyakinan kepada rakyat bahawa wang royalti minyak itu nanti tidak digunakan untuk kepentingan parti atau individu tertentu sahaja.

Pengistiharan harta ini akan menjadi teladan yang baik bagi setiap pemimpin masa depan negara dan negeri sekali gus mewujudkan amalan baru di Terengganu.


MUAMMAR QADDAFI ialah pengarah komunikasi Pemuda AMANAH Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.