Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat

Selaku wakil bagi pihak mahasiswa dalam PKR, Mahasiswa Keadilan Malaysia ingin menyatakan pendirian kami mengenai masalah yang kini membelengu masyarakat di samping menyuarakan ketidakpuashatian kami tentang segelintir kepimpinan parti yang mengambil mudah berkaitan kes sarang maksiat dan gangterisme yang berlaku di dalam kawasan mereka.

Mahasiswa Keadilan Malaysia menyeru kesemua ahli parti daripada pucuk akar umbi hinggalah ke tahap pucuk kepimpinan untuk melafazkan perang terhadap sarang-sarang maksiat dan gangsterisme yang telah menular di dalam komuniti masyarakat Malaysia secara umum dan kawasan Wilayah Persekutuan secara khususnya.

Pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia terkejut apabila mendapat laporan daripada lapangan bahawa Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Tan Yee Kew terletak di lubuk sarang maksiat yang terkenal di Wangsa Maju.

Berdasarkan aduan masyarakat setempat, kawasan tersebut penuh dengan aktiviti-aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik nama pusat refleksologi dan pusat urut tradisional.

Premis-premis ini dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan. Pekerja-pekerja seks tersebut kebiasaannya berasal dari negara-negara jiran seperti Thailand, Myanmar, Laos, dan Vietnam.

Pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia percaya sesetengah daripada tukang urut yang menawarkan perkhidmatan seks ini adalah mangsa kepada sindiket pemerdagangan manusia yang dipelopori oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap.

Situasi ini perlu ditangani segera, lebih-lebih lagi pada bulan Jun 2018 yang lalu, Malaysia telah diletakkan pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) kes pemerdagangan manusia, jatuh dari Tahap 2, berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang (TIP) 2018.

Perkara ini berlaku kerana Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam usaha penghapusan pemerdagangan manusia. Penilaian JNAS ini merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan mangsa perdagangan manusia.

Basmi kongsi gelap

Industri haram pemerdagangan manusia ini kebiasaanya dipelopori oleh kumpulan kongsi gelap, mereka terbabit dalam sindiket-sindiket lain seperti pengedaran dadah, penyeludupan senjata api, curi kereta, dan perjudian yang membabitkan keuntungan puluhan juta ringgit setahun.

Kegiatan mereka harus ditangani segera sebelum lebih ramai lagi anak-anak muda terperangkap dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang negara ini.

Kami dapati, kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini mula merekrut ahli baru sejak mereka berada di sekolah menengah lagi. Golongan miskin adalah kumpulan yang sering di sasarkan oleh mereka.

Kami ambil maklum pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerbu enam pusat urut haram yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan semalam.

Usaha ini harus diteruskan terutamanya di kawasan pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju yang bertempat di Taman Ibu Kota, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mahasiswa Keadilan Malaysia menyeru setiap ahli parti untuk membasmi gejala tidak bermoral ini dan kami berharap wakil-wakil rakyat daripada PKR akan mengambil perhatian dengan gejala-gejala sindiket yang sedang berlaku di dalam kawasan parlimen mereka.

Kewujudan sarang-sarang maksiat di seluruh negara ini akan mengancam keselamatan kesemua individu yang terbabit dan kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia juga ingin mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Tan Yee Kew untuk memberi jawapan yang kukuh mengapa beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan sarang-sarang maksiat yang bertempat di sekeliling pejabat beliau sendiri.


ADHAM ZAHYN ialah Ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa Keadilan Malaysia dan calon tunggal ketua AMK cabang Kepong.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS