Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Wacana bersama menteri di universiti galakkan mahasiswa kritis

Membawa seorang menteri agama iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof ke dalam sebuah universiti terkemuka di Malaysia iaitu Universiti Malaya adalah suatu perkara yang wajar dipuji dan dibanggakan pasca Malaysia baru ini.

Memberi ruang kepada mahasiswa untuk bersoal jawab bersama menteri adalah sebuah kenikmatan yang tidak dapat dilupakan. Memberi saranan idea dan kritikan terhadap polisi yang dibentangkan oleh menteri yang saya fikir jarang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, iaitu berhadapan bertentang mata bersama mahasiswa untuk berbincang perihal isu semasa, malah soalan yang ingin ditanya akan ditapis terlebih dahulu sebelum dilontarkan kepada menteri kerajaan sebelum ini.

Sebuah dialog menteri telah diadakan di Kompleks Perdana Siswa bertajuk Rahmatan Lil Alamin di Malaysia yang dipengerusikan oleh sahabat saya, saudara Syafiq Azman selaku presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) selepas anjuran kali pertama di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak oleh Belia Harmoni Gombak.

Saranan Dr Mujahid untuk meneruskan budaya wacana ini mekar di setiap universiti haruslah diambil perhatian secara serius. Lampu hijau yang diberikan oleh naib presiden AMANAH itu sewajarnya memberikan nuansa yang baru buat universiti.

Baik panelisnya daripada pihak kerajaan atau pembangkang. Tiada masalah. Ia sangat baik buat mahasiswa untuk terus menilai dan mencari penyelesaian yang terbaik untuk suatu permasalahan.

Berdialog bersama pemegang polisi yang paling berautoriti seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh segenap lapisan mahasiswa.

Ia memberi isyarat kepada semua mahasiswa untuk lebih peka dan cakna perihal isu semasa. Bukan semata mata peka, tetapi mahasiswa haruslah menggasak fikiran agar lebih kritikal dalam menilai suatu isu di media sosial dan realiti semasa.

Bandingkan kedua-duanya. Bukan sekadar mengambil tajuk besar sahaja. Ia juga secara tidak langsung menghidupkan budaya berdialog, berdiskusi dan berwacana bersama pemegang dasar polisi negara berkaitan dengan sesuatu topik.

Teras kesarjanaan

Mahasiswa bebas untuk bertanya dan mengkritik secara terhormat untuk memberi idea dan pandangan berkenaan sesuatu permasalahan. Disamping keghairahan untuk bertanya soalan, mahasiswa perlu bertanggungjawab dengan apa yang dibicarakan dan lontarkan. Tutur kata perlulah beradab sekalipun berhadapan dengan hal yang tidak sebulu.

Dialog yang dibincangkan haruslah bersifat komprehensif. Ia bukanlah ruang untuk ahli politik sahaja. Tetapi ia melibatkan pelbagai pihak di samping melihat kepada isu yang diperbincangkan.

Kesediaan universiti untuk memberikan kemudahan yang selengkapnya juga haruslah dipermudahkan. Mahasiswa haruslah dibenarkan untuk berbincang soal ekonomi, politik, sosio budaya, falsafah, pemikiran dan segala ruang ilmu yang mampu diperhalusi demi memperkasakan lagi cara berfikir dan membuat analisis terhadap suatu perkara.

Kebebasan berwacana dan dialog ini adalah salah satu teras kesarjanaan dalam universiti demi percambahan dan pengembangan pelbagai idea di dalamnya secara bebas dan bertanggungjawab. Malangnya, budaya menutup pintu dan menyekat kebebasan sejak dari bangku sekolah ke alam universiti.

Ini kerana suasana kebebasan sering disekat, sifat-sifat kritikal serta kreatif yang tidak begitu digalakkan dan budaya menulis telah ditenggelamkan dek kerana normalisasinya dikatakan bahawa ilmu kita tidak cukup lagi.

Tradisi rajin dan banyak membaca, menulis dan berbahas, mencari serta menegakkan kebenaran dengan bebas berani tidak digalakkan. Kerana tidak sependapat dengan kerajaan, mereka terus disenyapkan dan ini telah menutup ruang untuk mereka bersuara.

Tuntasnya, kita mahu universiti awam menjadi medan perkongsian intelektual dan setaraf universiti di negara maju seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Mahasiswa seharusnya lebih berani untuk membuat perubahan dan berani bermimpi setinggi angkasa.


Luthfi Yusri merupakan aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS