Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
Isytihar Cameron sebagai sebuah wilayah persekutuan

Saya ingin merujuk kepada artikel bertajuk “Cameron Highlands Kawasan Keselamatan” yang dipaparkan oleh Utusan Malaysia pada 31 Oktober 2018 dan ditulis oleh M Faisal.

Beliau dari Kuala Lumpur telah mencadangkan bahawa Cameron Highlands perlu diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan untuk mengatasi masalah penerokaan haram yang kononnya berleluasa.

Sebagai warga tempatan Cameron Highlands, saya ingin mengkongsikan pendapat dan pemerhatian saya selama ini yang mungkin menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang berminat dan berhasrat untuk lebih memahami situasi sebenar di Cameron Highlands.

Pertama, faktor akar umbi isu tanah Cameron Highlands menjadi huru-hara adalah polisi tanah Cameron Highlands yang tidak sistematik dan teratur.

Selepas Ops Gading yang bermula pada lewat tahun 2014 tamat, kerajaan negeri pernah berjanji untuk memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada pengusaha haram yang telah mengusahakan tanah mereka lebih daripada 10 tahun di mana keluasannya di bawah lima ekar.

Sehingga hari ini tidak kelihatan pekebun Cameron Highlands yang memang berjaya mendapat kelulusan yang diimpiani. Malangnya, mereka dilihat sebagai peneroka haram dari sudut pandangan orang ramai kerana tidak mempunyai lesen.

Datanglah ke Cameron Highlands dan anda boleh lihat betapa banyak pekebun-pekebun yang berlesen tetapi tidak memiliki Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang diperbaharui sehingga tahun 2018, walaupun bulan November pun telah tiba.

Sesetengah yang amat bertuah diberi peluang untuk memperbaharui LPS sehingga tahun 2017, namun majoriti daripada pekebun langsung tidak diberi peluang untuk memperbaharui lessen selama tiga tahun ke atas. Yang lebih menyedihkan, ada juga dalam kalangan mereka yang tidak dapat memperbaharui lesen selama 10 tahun.

Kedua, cadangan menubuhkan kawasan keselamatan seolah-olah menyamakan pekebun-pekebun di Cameron Highlands dengan pengganas kejam yang asyik membunuh dan tidak boleh diampuni.

Perlulah kita faham bahawa model Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) yang disebut dalam artikel beliau sebenarnya ditubuhkan susulan dengan krisis pencerobohan oleh pengganas di perairan Sabah.

Penubuhan kawasan keselamatan tersebut menjadi mustahak bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara daripada dicabuli oleh pengganas. Ini dengan jelasnya berbeza dengan para pekebun di Cameron Highlands yang tidak berancam kerana mereka hanya ingin bercucuk tanam demi mencari rezeki.

Adakah pekebun di Cameron Highlands dilihat membawa ancaman seperti pengganas dan perlu dilihat sebagai pengganas?

Ketiga, sekiranya penerokaan tanah secara haram memang berlaku, saya berpendapat bahawa siasatan dan tindakan tegas bukannya perlu diambil terlebih dahulu ke atas penduduk tempatan, tetapi ke atas pihak yang pernah bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam hal tanah.

Saya juga ingin mengesyorkan SPRM untuk menyiasat jumlah harta yang dimiliki oleh pegawai dan bekas pegawai yang pernah bertanggungjawab melaksanakan polisi-polisi tanah.

Nescayanya siasatan ke atas pihak yang pernah menguruskan hal tanah akan menyedarkan seluruh rakyat Malaysia tentang tahap korupsi yang selama berpuluh-puluh tahun membelenggu urusan tanah di Cameron Highlands.

Sekiranya pihak berkenaan masih berpendapat bahawa usaha bersepadu daripada pelbagai pihak diperlukan di Cameron Highlands, saya ingin mencadangkan agar Cameron Highlands diisytiharkan sebagai sebuah wilayah persekutuan.

Dengan adanya penubuhan wilayah persekutuan, pihak kerajaan pusat mampu memutuskan segala sumber korupsi dan kerenah birokrasi yang dulu membelenggu Cameron Highlands, terus mengambil alih seluruh kuasa dan mengambil pendekatan yang berkesan demi memulihkan Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan pertanian dan perlancongan yang tersohor, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di arena Asia Tenggara dan dunia.

Danny,

Penduduk Cameron Highlands

Lihat Komen
ADS