Paling Popular
Terkini
story images
story images

Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 yang menyentuh soal pembangunan semula Subang sebagai hub MRO (pusat membaiki dan penyelenggaraan pesawat). 

Sebagai bekas jurutera penyelenggaraan pesawat di Subang sebelum terlibat dengan pemberhentian beramai-ramai syarikat penerbangan ulung negara, saya menyambut baik langkah ini.

Saya pernah melihat zaman kegemilangan Malaysia sebagai hub MRO antarabangsa, ketika pesawat dari seantero dunia; bukan saja dari Asia, malah dari Eropah dan Amerika memberi kepercayaan kepada keupayaan anak Malaysia menyelenggara aset mereka yang bernilai jutaan ringgit. 

Malah ketika itu, tenaga pakar kita juga dipanggil untuk mengajar di negara maju seperti Jepun dan negara-negara lain.

Kini fasiliti di Subang seperti kota hantu, kosong dan ditinggalkan mereput. Saya tidak tahu kenapa mereka sanggup menyembelih angsa ketika ia subur mengeluarkan telur-telur emas. Tenaga pakar kita pula bertempiaran ke Timur Tengah dan Asia Tenggara. Apa yang saya tahu kini kita ada peluang untuk kembali ke persada dunia.

Namun harus juga saya kongsi yang inisiatif untuk menghidupkan semula Subang sebagai hub MRO ini bukan usaha baru, sebelum ini telah diumumkan pelan yang bagaimana pun gagal. 

Saya yang turut terlibat dalam memberi khidmat nasihat dalam projek tersebut merasakan ada kegagalan dari pihak tertentu untuk memahami keperluan-keperluan unik dalam persekitaran pengendalian MRO. 

Industri yang besar ini bukan saja perlu mematuhi undang-undang Malaysia, malah peraturan-peraturan antarabangsa, apatah lagi bila kita perlu menggamit pelanggan dan pelabur dari luar.

Tarik pelabur luar

Lantaran itu saya ingin mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa rentas kementerian, pemain industri dan pihak berkepentingan untuk memastikan projek ini tidak hanya tinggal angan-angan mat jenin.

 Jawatankuasa yang saya cadangkan boleh diberi nama 'National Aviation Council' ini berfungsi untuk menyelaraskan visi kerajaan dan sebagai pemudah cara MRO sedia ada untuk terus berkembang dengan bantuan agensi kerajaan seperti dari Khazanah, MITI, CAAM, kerajaan negeri Selangor, dan seterusnya sebagai platform untuk berurusan dengan agensi antarabangsa seperti EASA (European Aerospace Safety Agency), FAA (Federal Aviation Administration, AS) dan agensi penguatkuasa penerbangan negara-negara lain.

Menubuhan 'Malaysian Aviation Council' sangat penting untuk memahami cabaran pelaksanaan dan pengendalian MRO secara holistik selain sebagai badan yang membantu menyelesaikan masalah-masalah birokrasi yang seringkali membantut perkembangan industri penerbangan di Malaysia.

Sudah tiba masanya Malaysia menarik pelabur luar ke negara ini dan kembali menjadi pusat sehenti MRO serantau. Kerajaan boleh menzahirkan keseriusan dalam memangkin industri ini. Angka –angka menunjukkan pembelian pesawat di rantau ini berjumlah lebih 30 peratus dari seluruh transaksi pembelian pesawat di dunia. Ini pastinya menjamin pemintaan yang besar dan meyakinkan.

Meminjam kata-kata perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad, Harimau Asia akan mengaum kembali dan gemanya kini bukan sekadar syok sendiri malah akan memberi seribu manfaat kepada rakyat Malaysia, insyaAllah. 

Namun kita harus belajar dari kesalahan pentadbiran lepas dan mendepani cabaran mendatang dengan lebih bersedia dan persediaan itu boleh bermula dengan penubuhan Malaysia Aviation Council.


Zulfadzli Halim ialah seorang Jurutera Penyelenggaraan Pesawat dan aktivis masyarakat. Berkicau di twitter menggunakan nama @bumilangit.

Lihat Komen
ADS