Paling Popular
Terkini

Di era informasi global ini, kejayaan dan pengaruh bukan hanya bergantung kepada idea "askar mana paling kuat" tetapi naratif "kisah siapa paling hebat".

Strategi ini dikenali sebagai ‘soft power’ oleh sarjana politik antarabangsa dan pakar strategi hubungan antarabangsa.

Menutup tirai 2018, mari kita soroti cerita-cerita hebat yang mengharumkan nama Malaysia dan meningkatkan pengaruhnya di persada dunia.

Sorotan kisah hebat sepanjang 2018 ini ialah berdasarkan tema-tema seperti kerajaan, kebudayaan, digital, tokoh, pendidikan, perusahaan, sukan, kemanusiaan dan engagement.

1. Dr Mahathir Mohamad: Beliau mengejutkan dunia dengan membuat kemunculan semula dalam arena politik negara. Tokoh berusia 93 tahun itu merupakan negarawan yang dihormati oleh kawan dan lawannya, termasuk kalangan pemimpin dunia. Perdana menteri ketujuh Malaysia itu terkenal sebagai pemimpin yang bijak, berfikiran jauh, amat menekankan disiplin dan kesihatan serta tegas.

Beliau juga menerima pengiktirafan ijazah kehormat di banyak universiti luar negara serta dinobatkan sebagai Persons of the Year oleh ‘The World’s 500 Most Influential Muslims 2019’.

2. Anwar Ibrahim: Selepas dibebaskan daripada semua pertuduhan mahkamah, Anwar kembali ke arena politik negara dan mengemudi PKR.

Sebelum bertanding di Port Dickson, Anwar menerima rawatan khas di Istanbul, diziarahi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan sempat menyampaikan syarahan di Turki, United Kingdom dan beberapa negara luar.

Anwar juga rapat dengan cendekiawan Islam seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Taha Jabir al-Alwani dan ramai lagi.

3. Tarikh keramat Mei 2018: Detik 9 Mei mencatatkan sejarah penting dalam politik tanah air apabila berlakunya perubahan kuasa kepada PH pimpinan Mahathir setelah BN berkuasa lebih 61 tahun.

Peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah itu mengejutkan penganalisis politik antarabangsa dan masyarakat dunia.

4. Harimau Malaya: Skuad bola sepak kebangsaan berjaya menduduki tempat naib juara Piala AFF Suzuki 2018. Kekalahan kepada Vietnam - walaupun menyedihkan - tetap tidak memadamkan rasa bangga terhadap kesungguhan para pemain negara serta Ultras Malaya.

5. Lee Hup Wei: Dia menjuarai Kejohanan Balapan dan Padang ACCT di Canberra, Australia dalam acara lompat tinggi.

6. Azizulhasni Awang: The Pocket Rocketman menjuarai pingat emas dalam perlumbaan akhir acara pecut lelaki lumba basikal Sukan Asia di Jakarta, menamatkan kemarau emas setelah 16 tahun lamanya.

7. Siti Nurhaliza disenaraikan dalam 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia. Turut tersenarai penyanyi Hafiz Hamidun.

8. Moto Grand Prix Malaysia 2018 di Litar Lumba Sepang menyaksikan pelumba muda Hafizh Syahrin Abdullah meraih tempat ke-10 dalam perlumbaan berprestij tersebut.

9. Cikgu Khairul Anuar dari SMK Taman Universiti 2 menerima anugerah ‘Global Teacher Prize dari Varkey Foundation. Beliau diiktiraf kerana sumbangannya dalam pendidikan Murid Berkeperluan Khas.

10. Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu dimenangi Xu Yang dari China.

11. Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin memenangi anugerah dalam Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (International Invention Show-INOVA) Ke-43 di Zagreb Fair, Croatia.

12. Seramai 38 atlet lompat tali merangkul 55 pingat dalam kejohanan Thailand Jump Rope Open 2018. Malaysia diwakili atlet dari Politeknik Mersing, Johor; SK Sri Tebrau, Johor; SMK Dato’ Penggawa Barat Pontian; SMK Dato’ Lokman Kuala Lumpur dan SMK Lailatul Shahreen, Perlis.

13. Prof Jomo Kwame Sundaram menerima anugerah Tokoh Akademik Negara ke-12 kerana sumbangannya dalam bidang ilmu, penjanaan kekayaan negara, memenuhi asprirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi membantu membuat polisi dan analisis ekonomi bagi memacu pembangunan di negara-negara membangun.

14. Malaysia dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif Unesco.

15. Kolej Melayu Kuala Kangsar mengharumkan nama negara dengan memenangi 14 pingat emas dan 30 pingat perak dalam pertandingan berprestij World Scholars Cup (WSC) di Yale University, AS.

16. Malaysia - melalui para peserta Murid Berkeperluan Khas - merangkul dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge di New Delhi, India.

17. Sejumlah RM60.2 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan, yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

18. Seramai 170,000 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia, menurut Education Malaysia Global Services (EMGS). Sasaran 200,000 menjelang 2020 agak mencabar dengan persaingan dengan China dan UAE.

19. Program pertukaran pelajar antarabangsa berjaya membangun minda global dan jati diri cintakan negara serta memupuk persefahaman berlainan budaya.

Program yang dilaksanakan di Algeria, Turki, Jepun dan banyak lagi negara juga mampu menarik minat asing kepada Malaysia.

20. Pasaran digital tempatan menerima pelaburan asing seperti Golden Gate Ventures (Singapura), Alibaba Cloud (China) dan beberapa syarikat gergasi digital lain.

21. AirAsia menduduki tempat ke-37 terbaik dalam 1,000 jenama di Asia berdasarkan bancian oleh Campaign Asia-Pacific, sebuah firma yang menjalankan penyelidikan persepsi terhadap jenama pengguna.

22. Dr Mohd Daud Bakar dinobat sebagai seorang daripada lima penasihat syariah terkemuka dunia dan pelopor bidang keusahawan syariah. Pakar kewangan Islam itu bukan hanya memimpin Panel Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, malah khidmatnya turut dimanfaatkan di serata dunia teramasuklah London, UAE, Bahrain, Oman, Qatar, Kazakhstan dan banyak negara melalui Amanie Group.

23. Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai pembantu setiausaha agung dan pengarah eksekutif UN Human Settlements Programme (UN Habitat) di PBB , menyampaikan ucapan di Persidangan Blue Economy 2018 di Kenya berhubung kelestarian ekonomi dan pembangunan.

Beliau juga menyampaikan ucapan pembukaan dalam Forum Urban Dunia 2018 di Kuala Lumpur yang melibatkan 173 buah negara, 250,000 peserta dan 470 pertubuhan.

24. Festival Makan 2018 di Yokohama, Jepun berjaya menarik 4000 pengunjung untuk menikmati makanan Malaysia seperti mi kari, mi hokkien, mi goreng, rendang ayam, ayam bakar, sate, nasi lemak, nasi ayam, sambal udang, otak-otak, martabak, ayam pedas lada hitam, bubur caca, kuih-muih, ais kacang, air asam boi dan teh tarik.

25. Adik Noor Arisya Balqis Mohd Suhale, 9, menerima anugerah Wira Cilik kerana menyelamatkan tiga adiknya akibat kebakaran di Ipoh, Perak.

26. Enam anggota bomba terkorban lemas ketika operasi mencari dan menyelamatkan remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong. Izatul Akma Wan Ibrahim, Muhammad Hifdzul Malik Shaari, Mazlan Omarbaki, Adnan Othman, Mohd Fatah Hashim dan Yahya Ali ialah wira negara yang telah berkorban nyawa demi tugas mereka.

27. Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba dan penyelamat telah meninggal dunia dipercayai telah diserang ketika rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.

Kematian Allahyarham menggemparkan negara kerana melibatkan serangan fizikal orang awam terhadap pasukan beruniform yang tidak bersalah.

28. Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh berjaya memberikan khidmat perubatan dan kesihatan terbaik dalam menangani krisis kemanusiaan Rohingya.

29. Prof Dr Nordin Yahaya dianugerahkan Education Leadership Global Awards (for Excellence in Education, Leadership & Teaching) sempena Kongres Pendidikan Dunia ke-7 di Mumbai India.

30. Prof Dr Ng Kwan Hoong, saintis pertama dari negara membangun menerima anugerah Marie Sklodowska-Curie yang mengiktiraf sumbangan kepada pendidikan dan latihan fizik perubatan, pelajar dan kakitangan kesihatan serta kemajuan profesion.

Memasuki gerbang tahun 2019, bagaimanakah pula 'cerita hebat' Malaysia bakal menggegarkan dunia?


SAFWAN SAPARUDIN ialah pelajar PhD Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan pengasas Euromates.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS