Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
'Banyak isu lain jika Syed Saddiq mahu jadi hero'

Saya amat gembira mengetahui bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak masuk politik untuk playsafe, untuk jadi pak turut ataupun untuk tidak menjadi bisu atau pekak.

Tetapi, saya sedikit terperanjat saudara tidak menjadi ahli politik untuk menegakkan kebenaran dan menidakkan kemungkaran. Saudara sendiri tahu bahawa rakan sejawat saudara, Senator P Waythamoorthy bukanlah punca sebenar rusuhan yang berlaku tempoh hari, dan kejadian susulan, termasuk insiden arwah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diserang oleh sekumpulan perusuh.

Tetapi, nampaknya saudara turut termasuk perangkap pembangkang, yang ingin menggunakan insiden itu untuk menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Di manakah nurani saudara sebagai seorang ahli politik, yang kononya menjunjung kebenaran? Kalau benar tuduhan yang dilontarkan oleh pihak pembangkang dan beberapa NGO sayap kanan terhadap Waythamoorthy, tidakkah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah mengambil tindakan terhadapnya? 

Atau adakah anda meragui kebijaksanaan Dr Mahathir dalam mempertimbangkan perkara sedemikian?

Saya tertanya, kenapakah saudara tidak menjawab kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, sejurus beliau mengeluarkan kenyataan tersebut pada hari Khamis, dan terpaksa menjawab pada lewat malam Jumaat. 

Mungkin saudara sibuk. Tetapi, kalau saudara merujuk kepada artikel asal Ramasamy, mungkin saudara akan faham, konteks penulisan itu.

Individu yang terjemahkan artikel tersebut, mungkin tidak memeriksa maksud perkataan “reprimand” yang digunakan oleh Prof Ramasamy dalam artikelnya. Reprimand bermaksud teguran, dan bukanya ‘tindakan’.

Ahli politik matang

Bukan sahaja Ramasamy, ramai juga yang bersetuju dengan pandangan bahawa saudara harus ‘ditegur’ jika benar menyertai delegasi yang menghantar memorandum menentang seorang rakan kabinet saudara. 

Sebagai seorang pendebat terkenal, saya tidak ragu bahawa saudara boleh membezakan maksud perkataan “reprimand” (ditegur) dan "action" (tindakan). 

Saudara menulis, seolah-olah anda telah dihalang daripada bersuara. Saudara tidak dihalang bersuara; saudara bolehlah bersuara sebanyak mana yang mahu, dalam mesyuarat kabinet. 

Itulah ahli politik yang matang akan buat. Bezanya, Afif Bahardin, pemuda Amanah ataupun Datuk Kadir Jasin dengan saudara adalah, tidak seorang pun daripada mereka menganggotai kabinet, seperti saudara.

Pemuda Bersatu, mahupun Pemuda Sosialis DAP, Pemuda Amanah atau Pemuda PKR tidak sesekali dihalang daripada bersuara ataupun menyatakan pandangan mereka. 

Memang lantang bersuara itu identiti sesuatu sayap pemuda parti politik. Tetapi, apabila sesuatu sayap pemuda itu dinampak telah mengikut rentak yang salah, sudah menjadi tanggungjawab ketuanya untuk membetulkan mereka. 

Saudara, boleh membawa terus anak muda tersebut berjumpa dengan rakan sejawat saudara, Waythamoorthy untuk mendengar penjelasanya sendiri. 

Kenapa saudara tidak berbuat demikian? Saudara dan rakan seperjuangan saudara dari Pemuda Besatu juga turut terikut rentak pembangkang yang ingin memainkan sentimen perkauman dan agama, untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia, dan melemahkan PH.

Tumpu isu yang beri kesan pada belia

Pemuda Bersatu bukanya sayap Pemuda parti pembangkang, saudara. Kita, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk membetulkan kerosakan dan menolak fitnah dan penipuan.

Saya amat setuju dan menyokong pendirian saudara untuk terus “berani bersuara”. Saya memang faham situasi saudara. Saudara hanyalah ingin menggunakan peluang ini untuk menjadi “hero”. 

Itu bukanya satu masalah; saudara boleh menjadi hero golongan belia jika saudara betul-betul berani bersuara dalam isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan para belia di negara kita. 

Ada banyak isu yang memerlukan keberanian saudara untuk diperjuangkan, seperti kekurangan rumah harga mampu milik kepada golongan belia, kekurangan pekerjaan untuk golongan muda, gaji permulaan yang rendah untuk graduan. Isu-isu itu akan menjadikan saudara sebagai seorang hero sebenar.

Bercakap tentang keberanian, saya juga akan tabik saudara, jika saudara mempunyai keberanian untuk melawan penipuan dan permainan politik pembangkang, dengan menegakkan kebenaran dalam isu ini. 

Saya akan tabik saudara, jika saudara berani berhadapan dengan membuatkan rakan-rakan dalam Pemuda Bersatu memahami bahawa keseluruhan isu ini adalah satu permainan politik mereka yang terdesak dengan perkembangan politik terkini. 

Adakah saudara berani? Saya tunggu dan lihat.


SATEES MUNIANDY merupakan ADUN Bagan Dalam dan Setiausaha Antarabangsa Pemuda DAP.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS