Paling Popular
Terkini

Sekeping poster ucapan tahniah kepada salah seorang anggota parlimen PAS di Terengganu atas pelantikannya sebagai pengerusi lembaga pengarah kepada empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri tular.

Sedangkan di peringkat persekutuan perdana menteri telah menetapkan seorang individu hanya boleh memegang jawatan yang terhad dalam GLC. Nampaknya PAS Terengganu gagal mengikut aspirasi murni kerajaan persekutuan.

Setelah lebih tujuh bulan perubahan pentadbiran di peringkat kerajaan persekutuan juga kerajaan negeri, hanya pemimpin kerajaan persekutuan telah melakukan pengisytiharan harta dan gaji mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipaparkan kepada umum, ia adalah langkah bagi memastikan kerajaan baru ini menjadi sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti.

Pengisytiharan harta akan memberi ruang kepada rakyat untuk memantau sekiranya ada individu yang mengambil kesempatan dalam kekuasaan kerajaan negeri untuk mengumpul kekayaan selama bertahun-tahun sama ada melalui GLC mahupun mana-mana ruang lingkup kerajaan negeri.

Sehuhungan dengan itu, adalah perlu untuk pemimpin kerajaan negeri Terengganu yang dikuasai PAS untuk turut mengisytiharkan harta dan gaji mereka untuk dipaparkan kepada rakyat.

Selain itu, sehingga kini kerajaan negeri Terengganu telah menerima lebih RM450 juta wang royalti minyak dan seharusnya ini menjadi sebab yang lebih utama pengisytiharan harta pemimpin kerajaan negeri dan individu-individu yang menerima manfaat daripada kemenangan PAS di Terengganu.

Desakan untuk pemimpin kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkan harta telah pun dibuat sebelum ini oleh Pemuda Amanah Terengganu, namun nampaknya masih tiada sebarang usaha untuk menjayakannya.

Berbeza dengan langkah kerajaan Negeri Melaka yang ditadbir oleh Pakatan Harapan yang telah melakukan pengisytiharan harta oleh pegawai kerajaan negeri dan turut menandatangani ikrar bebas rasuah sejak bulan Julai lagi.

Kerajaan negeri Terengganu perlu serius menjayakan langkah ini sekiranya mereka benar benar sebuah kerajaan yang telus, dan berintegriti.


MUAMMAR QADDAFI MOHD NASIR merupakan pengarah komunikasi Pemuda Amanah Terengganu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS