Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan Senator Bob Manolan Mohamad di Pos Betau, Jelai bahawa ketua kampung masyarakat Orang Asli atau tok batin akan kehilangan gaji dan dibuang daripada jawatan jika mereka tidak menyokong calon kerajaan persekutuan pada PRK Cameron Highlands adalah satu bentuk ugutan.

Ini tidak sepatutnya berlaku kerana elaun ketua kampung atau pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat Orang Asli mesti diberi tanpa mengira siapa yang mereka sokong. Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan, Pakatan Harapan (PH) memang bertanggungjawab menyediakannya kepada mereka yang berhak menerima.

Jadi ugutan sebegitu adalah salah sama sekali dan tidak patut dibuat. Kita harap Kerajaan PH berhenti daripada membuat ugutan kepada pengundi kerana rakyat berhak mengundi siapa yang mereka inginkan.

Ketika perjumpaan bersama kepimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di pejabat UMNO Cameron Highlands di Tanah Rata, saya telah meminta semua Jentera BN bekerja kuat dengan penuh strategi.

Umno dan BN perlu pastikan kita dapat majoriti besar. Kemenangan BN adalah penting untuk memberi isyarat kepada Kerajaan PH yang banyak mungkir janji, berbohong dan rakyat tidak berpuas hati dengannya.

Kemenangan BN di PRK ini penting. Ia akan menjadi titik tolak perubahan lanskap politik negara setelah kita lihat kegagalan PH dalam banyak perkara seperti ekonomi, kebajikan rakyat dan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Jentera Umno mesti berusaha kuat dan pastikan seramai mungkin keluar mengundi BN. Kita bimbang trend keluar mengundi yang rendah di beberapa PRK sebelum ini akan berulang.

Justeru jentera Umno perlu ada strategi yang tersendiri untuk membawa keluar pengundi. Kita perlu fokus dalam hal ini.

Kita percaya calon DAP akan melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkan jumlah keluar mengundi. Oleh itu kita mesti lipat gandakan usaha.


SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah ketua penerangan Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS