Kita sedang memerhati bagaimana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru mencorakkan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu. Kita berdebar-debar menunggu kesudahannya.

Ia seperti memberi harapan kepada orang yang hampir-hampir menghembuskan nafas terakhir agar diberi nafas semula untuk hidup kembali bersama kita.

Kenapa kita harus memberi tekanan kepada beliau yang berusaha ini? Perlukah cakap-cakap sumbang dihamburkan kepada beliau yang baru sahaja memulakan langkahnya?

Golongan yang hanya gemar mengkritik dan bersikap prejudis terhadap Idris Jala ini harus menghentikan sikap negatif ini. Jika mereka mempunyai pendapat atau ilmu, kenapa tidak menyediakan pelan cadangan dan kertas kerja untuk membantu MAS dan kerajaan?

Saya rasa beliau ikhlas menerimanya sebagai sumbangan kepada negara. Sepatutnya dalam kita heboh mempertikaikan kemampuan beliau, kita jangan lupa siapa yang bertanggungjawab menyebabkan MAS rugi sebelum ini.

Rupanya cukup senangnya menjadi CEO kepada organisasi di negara ini. Boleh lepas tangan, walaupun telah menyebabkan kerugian beratus juta ringgit. Tidak dikenakan tindakan dan gaji yang berpuluh ribu ringgit sebulan terus masuk poket. Tapi awas kepada mereka yang mengambil alih, anda akan menjadi tumpuan meluas.