Paling Popular
Terkini

Pertubuhan Ikram Malaysia menjunjung kasih dan mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14.

Dalam istiadat itu, Agong bertitah:

"Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia."

Ikram berpandangan, prinsip rahmatan lil alamin dan maqasid syariah wajar diterima oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk mencapai status negara maju yang menyerlahkan kesyumulan Islam yang sesuai sepanjang zaman.

Dunia Islam menaruh harapan tinggi agar Malaysia menjadi model negara Islam moden yang berprestasi tinggi dan mementingkan kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Rahmatan lil alamin mempunyai makna yang luas merangkumi segenap aspek termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, tidak prejudis, ramah-tamah dan harmoni.

Dalam konteks Malaysia, sikap rahmah perlu diterapkan kepada semua elemen kehidupan termasuk rahmah terhadap bangsa Melayu dan bumiputera yang masih belum mendapat haknya, dan juga bangsa-bangsa lain yang menghormati undang-undang negara.

Pendekatan rahmah juga harus diterjemahkan untuk pembelaan golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, orang miskin, anak-anak yatim, mualaf, orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik, pesakit mental, malah haiwan dan alam sekitar.

Berdasarkan pendekatan rahmatan lil alamin inilah, Ikram menggagaskan 12 ciri negara rahmah yang menjadi visi kami.

Ia agi mewujudkan sebuah negara bertamadun yang maju, progresif, seimbang dari segi pembangunan dan diiringi dengan keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti

2. Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan

3. Tadbir urus yang baik

4. Undang-undang yang adil

5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang

6. Institusi keluarga yang utuh

7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni

8. Ekonomi yang mampan

9. Agihan kekayaan yang saksama

10. Pembangunan yang lestari

11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara

12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat


DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD ialah presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS