Hasrat kerajaan Negeri Selangor untuk menswastakan pengurusan tiga buah sungai utama di negeri tersebut suatu yang amat menarik.

Namun ia memerlukan penelitian yang lebih terpeinci mengenai kaedah pelaksanaannya serta jangkaan faedah yang terhasil dari penswastaan tersebut.

Ini kerana penswastaan tersebut akan memerlukan satu jaminan konsesi selama 30 tahun dari kerajaan negeri dan sekiranya penswastaan tersebut gagal meraih keuntungan, gantirugi dari pihak kerajaan kepada pihak konsesi akan menyebabkan kehilangan hasil kerajaan yang berterusan.

Wang rakyat ataupun wang pembayar cukai dijadikan percaturan bagi pelaksanaan projek yang diragui mendatangkan pulangan yang berfaedah.

Usaha dan cita-cita yang terlalu tinggi untuk memastikan kebersihan sungai meningkat dari segi kualiti airnya hingga mencapai tahap kelas 2 ataupun 1 adalah satu impian yang boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin sahaja.

Realitinya ialah sungai di negara kita berterusan dicemari oleh pelepasan sisa industri, kumbahan, domestik dan sebagainya dan menurunkan kualiti air hingga kepada kelas 4 dan 5 yang hanya dapat menampung kegunaan berfaedah seperti pengairan pertanian dan pelayaran.

Jika dilihat pula kualiti air mentah yang diambil oleh syarikat pembekal air minuman, rata-rata kualiti air sungai berada dalam kelas 3 sahaja yang memerlukan kaedah rawatan lanjut dan bukan konvensional.

Selagi masalah pencemaran yang disumbangkan oleh punca-punca pencemar tidak diatasi sepenuhnya, sungai akan terus dicemari dengan pelbagai kontaminan organik dan inorganik, bakteria, logam berat dan sebagainya dan kualiti air sungai akan terus merosot.

Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan telah ditugaskan untuk menjaga kebersihan sungai ini. Apa sudah terjadi dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) yang pernah diwarwarkan sebagai 'the river guardian' bagi negeri Selangor suatu masa dulu?

Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh agensi tersebut semenjak penubuhannya dan apakah hasil kejayaan dalam aspek menjaga kebersihan sungai di seluruh negeri Selangor setakat ini?

Adalah dikhuatiri kegagalan Luas telah mencetuskan idea bagi penswastaan pengurusan sungai ini pula! Enakmen Luas yang telah diwartakan beberapa tahun yang lalu itu pun masih menghadapi masalah pelaksanaannya hingga sekarang ini. Aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang termaktub di dalam enakmen tersebut pun sukar dilaksanakan dengan berkesan.

Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit dalam menjalankan kajian pembersihan sungai di seluruh negara dalam RMK 8. Apa telah berlaku dengan kajian tersebut?Adakah perakuan dan syor-syor dokumen kajian akan dilaksanakan ataupun tinggal menjadi bahan rujukan sahaja seperti kebiasaannya?Adakah peruntukan yang mencukupi telah dipohon dalam RMK 9 untuk melaksanakan perakuan serta syor-syor kajian tersebut?

Berbalik kepada penswastaan pengurusan sungai ini, persoalan yang berlegar di dalam pemikiran orang ramai ialah bagaimanakah syarikat konsesi tersebut akan membiayai projek mereka? Adakah hasil sungai seperti pasir dan hidupan air serta kegunaan berfaedah untuk aktiviti jet ski dan sebagainya dapat menampung perbelanjaan syarikat konsesi tersebut dalam jangkamasa panjang?

Adalah dikhuatiri penswastaan tersebut hanya lebih menjurus kepada mengeksploitasi hasil sumber sungai dan tanah rezab sungai untuk tujuan pembangunan dan kurang memfokuskan kepada tujuan untuk memperbaiki kualiti air sungai seperti yang dicadangkan.

Hak orang awam untuk memasuki kawasan sungai dan rezabnya akan terjejas dengan pelaksanaan penswastaan ini. Kalau dulu orang awam bebas keluar masuk tanpa sebarang sekatan ataupun caj bagi kegunaan sungai, kini mereka akan dibebankan dengan bayaran tertentu untuk tujuan rekreasi dan lain-lain lagi. Persoalan ini perlu dihalusi agar tidak menimbulkan kegelisahan rakyat di masa akan datang.

Adalah lebih bermanfaat dan berfaedah sekiranya usaha penswastaan ini hanya tertumpu kepada kawasan sungai tertentu dan untuk tujuan spesifik sahaja. Contohnya ialah seperti menswastakan projek mendalamkan, melebarkan serta membersihkan muara Sungai Langat dan Sungai Klang bagi tujuan kemudahan pelayaran bagi kapal-kapal yang mengangkut hasil pengeluaran kilang-kilang yang terdapat di sepanjang sungai tersebut.

Kutipan tol bagi penggunaan laluan pelayaran oleh kapal-kapal pengangkut barangan keluaran kilang dan juga bot-bot mewah akan menjana pendapatan kepada syarikat konsesi yang telah menjalankan kerja-kerja menaiktaraf sungai yang terlibat.

Secara tidak langsung longgokan sampah sarap yang banyak terdapat di kawasan muara sungai Langat dan Klang akan turut dibersihkan setiap masa oleh syarikat konsesi yang terlibat.

Ini adalah dirasakan lebih praktikal daripada menyerahkan urusan menyenggara kebersihan sungai kepada syarikat konsesi yang belum terjamin kejayaan pelaksanaannya.

Aspek sokongan perundangan, pentadbiran, teknikal, kewangan dan sebagainya sewajarnya diperhalusi oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat Mei 2006 nanti.