Malaysiakini Surat

Geramm: Serangan terhadap pelatih Mkini melampau batas

Gerakan Media Merdeka  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya insiden gangguan ke atas dua wartawan pelatih Malaysiakini oleh dua orang pemimpin Umno siang tadi.

Lebih buruk lagi, kejadian berkenaan turut melibatkan pemimpin politik lelaki berdepan dengan wartawan wanita yang dilaporkan meminta agar haknya dihormati, namun dibalas dengan kata-kata kesat.

Memetik laporan Malaysiakini, kedua wartawan pelatih tersebut ditugaskan membuat liputan acara Sembang Santai bersama bekas perdana menteri Najib Abdul Razak di Kuala Lumpur yang kemudiannya menyaksikan pergelutan berlaku melibatkan sekumpulan penyokong Umno dan beberapa orang mahasiswa Universiti Malaya.

Kedua-dua orang pemimpin Umno berkenaan dilaporkan melemparkan kata-kata kesat dan hampir mencederakan kedua wartawan pelatih Malaysiakini kerana kurang senang dengan laporan portal tersebut tentang insiden pergelutan yang berlaku.

Geramm dengan ini mengutuk keras tindakan melampaui batas menyerang wartawan bertugas secara lisan dan fizikal.

Difahamkan satu laporan polis telah dibuat oleh kedua wartawan berkenaan dan Geramm dengan ini menggesa pihak berwajib untuk menyiasat insiden tersebut.

Kami juga ingin menegaskan wartawan tanpa mengira organisasi media berhak menjalankan tugas tanpa diganggu atau lebih buruk diserang oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Buat kesekian kali juga kami menyuarakan sokongan terhadap penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai platform bagi mana-mana pihak untuk menyelesaikan pertikaian dengan sebarang agensi media tanpa perlu melibatkan kekerasan.


GERAKAN MEDIA MERDEKA atau GERAMM ialah kumpulan prokebebasan media Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.