Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adalah sesuatu yang mencurigakan apabila seorang calon bebas yang mengaku ahli PAS dan pada masa sama dia menganggotai Amanah, iaitu salah satu parti komponen PH.

Tindakan itu adalah dianggap bermotif jahat untuk memecah-belahkan kerjasama yang terjalin di antara PAS dan Umno.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah calon tersebut menafikan fakta yang dia merupakan anggota Amanah walhal terdapat banyak bukti menunjukkan keadaan itu.

Ia jelas menunjukkan bahawa penipuan sudah menjadi begitu sinonim dengan PH.

Kejadian itu juga membuktikan terdapat pergelutan kuasa dan konflik dalam PH, atau sememangnya taktik PH ialah menipu bagi mengelirukan pengundi.

Namun apa yang dikesalkan ialah, tindakan yang dilakukan oleh calon bebas dari Amanah itu jelas mempersendakan rakyat Rantau.

Jangan dek kerana kerakusan perebutan kuasa dalaman PH, mereka menjadikan rakyat Rantau sebagai mangsa.

Maka sampai masanya pengundi Rantau menunjukkan kuasa rakyat kepada PH dengan memberi amaran supaya kerajaan memberi keutamaan kepada isu kepentingan kepada rakyat, bukannya mementingkan siapa yang patut memegang kuasa.

Pemuda Umno menyelar sikap pemimpin PH yang mementingkan diri dan sentiasa tamakkan kuasa.

Kami menjangka Amanah akan memecat keanggotaan calon bebas tersebut selepas taktik jahat mereka terbongkar sebagai strategi damage control.

Kami mengucapkan tahniah kepada warganet kerana membongkar siapa sebenarnya calon bebas itu.

Ternyata rakyat sudah bosan dengan mainan politik kotor PH dan menunjukkan keupayaan mereka membongkar sesuatu kejahatan.

Kami juga berharap agar netizen memberi sokongan penuh kepada mana mana calon yang bersih, telus dan jujur dalam memperjuangkan masa depan penduduk Rantau dan Negeri Sembilan.


Wan Agyl Wan Hassan ialah pengarah strategik Pemuda Umno Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS