Paling Popular
Terkini

Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) menyelar kenyataan fitnah yang dibuat terhadap Sisters in Islam (SIS) oleh Ahli Parlimen PAS Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung dengan penerimaan sokongan kewangan SIS dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, adalah sesuai kiranya Siti Zailah meneliti sejarah panjang kerja-kerja SIS dalam menegakkan hak asasi wanita dan menangani punca utama ketidaksaksamaan gender dalam masyarakat kita sejak 1987.

Sekarang juga adalah masa yang sesuai untuk Siti Zailah bercakap dengan ribuan wanita Islam di Malaysia yang telah dibela oleh SIS.

Wanita yang menderita dalam keadaan sosio-ekonomi yang teruk, yang berdepan dengan bias agama, dan yang berdepan dengan sikap stereotaip terhadap wanita.

SIS telah berjuang tanpa henti untuk kesaksamaan gender dan penghapusan diskriminasi bagi wanita Islam.

Dakwaan Siti Zailah bahawa kerajaan harus mengambil tindakan terhadap SIS dan organisasi lain yang ‘menyalahgunakan nama Islam’ adalah penafian kebebasan individu dan organisasi di Malaysia untuk menzahirkan kepercayaan agama mereka dalam cara yang berbeza, dan ini adalah sangat tidak bertanggungjawab. Dakwaan ini turut menafikan sumbangan besar SIS dalam membantu wanita Islam.

Sejak 32 tahun dahulu, SIS telah berusaha untuk mencapai kesaksamaan gender melalui tafsiran yang lebih adil dalam perundangan Islam yang mencerminkan kesaksamaan hak-hak wanita dan selaras dengan CEDAW. CEDAW adalah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita yang merupakan satu perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Malaysia.

SIS telah membangkitkan isu kekurangan akses kepada keadilan yang dihadapi oleh wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pelbagai pelanggaran hak asasi manusia, dari amalan poligami, ke keganasan rumah tangga, ke hak-hak superior lelaki dalam menamatkan perkahwinan, ke hak tidak sama bagi wanita dalam isu hak penjagaan kanak-kanak, ke perkahwinan kanak-kanak.

JAG memuji cara Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengendalikan komen Siti Zailah, dengan menghentikan perbahasan yang merosakkan dan tidak bertanggungjawab.

JAG juga memuji Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Hannah Yeoh, Maria Chin Abdullah, Kasthuri Patto, Nur Azrina Surip, dan Charles Santiago yang telah secara konsisten menyokong hak-hak asasi wanita.

Kasthuri, Nur Azrina dan Charles juga adalah ahli Jawantakuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender. JAG turut memuji Kementerian Wanita yang telah menyokong SIS.

Demokrasi matang

Kementerian Wanita memutuskan untuk menyokong kerja-kerja SIS dalam mengumpul data dan statistik mengenai wanita Islam -- data yang belum ada namun amat perlu untuk menilai status hak asasi wanita Islam di Malaysia.

Sokongan ini adalah atas kesedaran terhadap sumbangan besar SIS dalam membantu wanita yang memerlukan bantuan, termasuklah melalui perkhidmatan guaman percuma melalui talian telefon dan klinik bantuan guaman yang telah dimanfaatkan oleh 8,400 wanita.

Apa yang dilakukan oleh SIS dan organisasi hak asasi manusia lain adalah mustahak dalam mengisi lompang dalam perkhidmatan yang tersedia bagi wanita yang mengalami keganasan dan diskriminasi di Malaysia.

Organisasi seperti ini harus dialu-alukan dan disokong, bukan diburukkan oleh penggubal undang-undang -- terutamanya mereka yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam menegakkan hak-hak wanita dan memastikan kesaksamaan gender.

JAG ingin menggesa Siti Zailah dan semua ahli Jawatankuasa Pilihan Khas agar bertemu dengan masyarakat sivil untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk rakyat.

Marilah kita mengamalkan demokrasi yang matang, dan bersama-sama berusaha menangani realiti kehidupan dalam masyarakat, dan bukannya untuk manfaat politik.

Disokong oleh organisasi ahli JAG berikut: Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM), Association of Women Lawyers (AWL), Foreign Spouses Support Group (FSSG), Perak Women for Women (PWW), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO), Sarawak Women for Women Society (SWWS), Tenaganita, Women Centre for Change (WCC Penang).


Tan Heang-Lee

TAN HEANG LEE merupakan Pegawai Advokasi dan Komunikasi Pertubuhan Bantuan Wanita.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS