Buletin Utama TV3 pada 17 Feb lalu telah menyiarkan liputan berita mengenai sikap penyangak alam sekitar yang merosakkan tanah tinggi di Cameron Highlands. Terdapat dua lokasi yang telah digondolkan oleh penyangak-penyangak ini iaitu berdekatan dengan Kg Pos Terisu dan Sg Palas yang berdekatan dengan ladang Tea Boh.

Akibat dari kerakusan mereka serta ketiadaan pemantauan dari pihak berkuasa, kegiatan penyangak-penyangak ini berjalan tanpa dapat ironinya, kegiatan penggondolan tanah tinggi ini berlaku sejak bulan Oktober 2005 lagi. Dan pada ketika itu juga pemantauan dari udara menggunakan helikopter telah diberhentikan atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Adakah ini secara kebetulan ataupun sememangnya mengikut perancangan pihak-pihak tertentu yang bersekongkol untuk memastikan kegiatan penggondolan bukit dilakukan tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa?

Kegiatan jenayah alam sekitar ini didalangi oleh pihak-pihak tertentu secara terancang dan menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli untuk meneroka tanah milik kerajaan tersebut. 'Modus operandi' sendikit ini bertujuan untuk berselindung menggunakan immuniti masyarakat Orang Asli mentelahan tanah milik kerajaan tersebut terletak dalam kawasan pengumpulan semula Orang Asli di Kg Pos Terisu.

Pembangunan tanah tinggi di Cameron Highlands bukanlah satu isu baru malahan kabinet telah mengarahkan pemantauan yang berterusan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kerosakan yang berlaku tidak berpanjangan.

Penubuhan Jawatankuasa Kabinet dan Pasukan Petugas Pembangunan Tanah Tinggi telah dibentuk untuk menggubal polisi, prosidur pembangunan dan melakukan pemantauan berkala. Melihat kepada kejadian yang baru berlaku ini, ia menyerlahkan kepincangan sistem pemantauan yang berkuatkuasa.

Hangat-hangat tahi ayam, mulanya hangat, lama kelamaan sejuk. Inilah gambaran yang terbaik dapat diberikan kepada sikap birokrasi pihak berkuasa yang terlibat.

Bangkai gajah manakan boleh disorok di bawah tudung saji? Selama manapun pihak yang terlibat ingin menyorokkan perkara ini dari pengetahuan orang ramai, namun sikap dan semangat cintakan alam sekitar segelintir masyarakat setempat membolehkan perkosaan alam sekitar ini terbongkar.

Apapun alasan yang diberikan, tindakan yang sekerasnya wajar diambil ke atas pihak berwajib yang telah mengabaikan arahan kabinet tersebut. Adakah pihak yang lain lebih berkuasa ataupun mempunyai kuasa 'supreme' mengatasi arahan kabinet?

Walaupun garis panduan pembangunan tanah tinggi telah disediakan, namun pelaksanaan pemantauan amat sukar untuk dilaksanakan. Penerokaan tanah yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah masih terus berlaku. Contohnya terdapat beberapa kawasan tanaman sayur yang mempunyai batas-batas tanaman terletak hingga mencecah puncak bukit yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah.

Perlanggaran ke atas syarat pembangunan cuma dikenakan kompaun yang minima, kira-kira RM500 sahaja. Apabila kompaun telah dilunaskan, kegiatan penggondolan cerun bukit masih boleh diteruskan tanpa sebarang arahan berhenti kerja. Sedangkan peraturan dan perundangan yang berkuatkuasa pun boleh dilanggar, apatah lagi garispanduan yang tidak mempunyai sebarang sokongan perundangan.

Sudah tiba masanya keberkesanan Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Tanah Tinggi yang telah dibentuk dikaji semula. Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan fungsi jawatankuasa yang terlibat perlulah dimantapkan.

Tidak mustahil malapetaka yang telah menimpa Pulau Leyte, tenggara Filipina yang telah mengorbankan sejumlah 3,000 nyawa penduduk akan berlaku di Cameron Highlands jika pihak berkuasa hanya membiarkan pencerobohan tanah tinggi di sana berlaku tanpa pemantauan yang ketat.