Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Proses membaiki rumah usang yang hanya menanti saat menyembah bumi bukanlah suatu pekerjaan yang senang dan biasanya mengambil masa yang lama.

Sekarang, proses pembaikan itu sudah berjalan setahun dan masih giat dijalankan. Itulah apa yang nampak berkenaan kerajaan yang berusia setahun lapan belas hari, hari ini.

Semalam, iaitu 18 Mei 2019, genap setahun Dr Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan.

Walaupun saya tidak pernah menduduki kelas yang diajar beliau tetapi sebagai pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkongsi bumbung yang sama, saya bangga dan gembira di atas pelantikannya.

Apa yang menarik perhatian saya ketika tempoh awal beliau mengemudi kementerian yang besar itu ialah usahanya untuk menjadikan tiga perkara - keseronokan, kasih sayang, dan saling menghormati - sebagai asas dalam pengajaran dan pembelajaran.

Saya percaya tiga unsur itu memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan.

Melalui pemerhatian saya sebagai guru yang baru setahun jagung dalam dunia ini, memang benar pelajar ke sekolah untuk belajar tetapi ada juga yang datang untuk mendapatkan perhatian dan ia acap kali menguji kesabaran seorang guru.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan pelajar yang kurang bermotivasi dalam pelajaran dan ada masalah disiplin. Ia pastinya dapat diatasi jika guru-guru memandangnya dengan penuh belas dan kasih-sayang. Selami isi hatinya dan percayalah pada akhirnya pelajar ini akan membuka dirinya untuk menuntut ilmu.

Seperti kata-kata seorang guru, Nicholas A Ferroni: "Pelajar yang mendapat kasih sayang di rumah datang ke sekolah untuk belajar, pelajar yang tidak mendapatnya mencari kasih sayang di sekolah." (Student who are loved at home, come to school to learn, and students who aren’t, come to school to be loved).

B40 dan OKU

Saya mengikut perkembangan dunia pendidikan negara dengan rapat. Antara sembilan teras pencapaian kementerian pendidikan di bawah kerajaan PH, ada dua yang hampir memenuhi kepuasan sisi manusiawi saya.

Pertama berkenaan manfaat untuk pelajar golongan miskin, atau B40. Kitaran kemiskinan sememangnya kejam dan membunuh potensi pelajar. Kemiskinan membantutkan tumbesaran, seterusnya membawa kepada kesukaran belajar sebelum akhirnya tercicir dari sekolah sama sekali.

Inilah kitaran yang sentiasa beputar jika tiada siapa yang sanggup memutuskan rantaian tersebut.

Justeru langkah yang diambil kementerian untuk memperuntukkan 60 peratus tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) kepada pelajar B40 harus dipuji.

Melihat anak-anak ini tersenyum dapat masuk ke SBP, seperti yang terpapar di dada akhbar dan televisyen, hati saya jadi gembira dan sayu.

Aspek kedua ialah perhatian penuh kepada golongan kelainan upaya (OKU).Aksi Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggunakan bahasa isyarat ketika menyanyikan Negaraku, serta Dr Maszlee sendiri yang berbuat perkara sama ketika siaran langsung ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, telah menarik perhatian ramai.

Namun aksi-aksi ini hanya tinggal sebagai romantisme jika tiada tindakan untuk membantu golongan tersebut.

Perjuangan pendidikan yang inklusif semakin mendapat perhatian oleh kementerian pendidikan. Antara langkah yang diambil ialah usaha berperingkat untuk menaik taraf sekolah seluruh negara agar lebih mesra OKU. Peruntukan akan disalurkan kepada setiap sekolah bagi merealisasikan usaha ini.

Kepada Dr Maszlee dan pasukannya, selamat maju jaya saya ucapkan. Sebagai rakyat marhaen dan guru, saya akan cuba sedaya upaya menyambut baik usaha kerajaan lebih-lebih lagi dalam dunia pendidikan.

Semoga perjuangan menaik taraf pendidikan di Malaysia sentiasa berjalan dengan lancar dan diberi kekuatan, idea dan tenaga yang mencurah-curah.


NUR ATIQAH AMANINA MASHUDI sudah empat tahun menjadi guru. Dia kini mengajar di sebuah sekolah swasta sambil menghabiskan pengajian Sarjana Pendidikan di UIAM.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS