Paling Popular
Terkini

Ramadan al-Mubarak sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rata-rata umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia kini sedang siap sedia menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri. Setiap kali datangnya hari raya Aidilfitri, sudah menjadi satu kebiasaan kita semua untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran berkenaan.

Walaupun sudah menjadi satu kebiasaan buat kita semua untuk berbelanja bagi menyambut hari lebaran, ada antara kita yang sanggup mengeluarkan dan berbelanja banyak wang ringgit semata-mata bagi menyambut hari yang hanya muncul setahun sekali terbabit. Ada juga di kalangan kita yang sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah berdasarkan prinsip raya hanya datang setahun sekali.

Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran yang bakal tiba tidak beberapa lama lagi, adalah penting supaya setiap daripada kita untuk merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja.

Walaupun hari raya Aidilfitri cuma datang setahun sekali namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan banyak wang serta sanggup berhutang semata-mata untuk menyambut hari raya. Di dalam perkara ini, adalah penting untuk kita ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri.

Jalan Tuanku Abdul Rahman antara tempat tumpuan warga kota membeli-belah.

Hari raya Aidilfitri disambut khusus oleh umat Islam bagi meraikan kemenangan menahan diri dengan berpuasa dari makan dan minum serta segala perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa itu sendiri sepanjang bulan Ramadan.

Selama satu bulan umat Islam telah dilatih supaya menjadi lebih berdisplin dalam menjalani segala jenis ibadah yang telah dituntut terhadap diri mereka didalam bulan Ramadan.

Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani segala ibadah malah turut mengajar umat Islam untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian. Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh ajaran agama Islam itu sendiri. Umat Islam tidak sepatutnya melakukan segala perkara yang boleh membawa kepada pembaziran serta sia-sia.

Perkara ini selaras dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran (bermaksud):

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua – dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan: Ayat 67).

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya kedatangan hari raya Aidilfitri ini diisi dengan pembaziran serta perkara yang sia-sia. Tidak salah untuk kita melakukan pelbagai jenis persiapan dan kelengkapan untuk menyambut hari raya, namun ia harus dilakukan dengan bijaksana dan tidak membawa kerosakan kepada diri kita sendiri.

Perkara utama yang paling harus diberi penekanan ketika ingin melakukan proses persiapan hari raya nanti ialah untuk kita berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri. Bak kata peribahasa Melayu, ukur baju di badan sendiri, kita haruslah berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri. Kita tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain.

Setiap orang memiliki tahap kemampuan kewangan masing-masing. Sebarang proses perbelanjaan yang tidak mengikut tahap kemampuan kewangan kita akan menyebabkan kita mengalami masalah kewangan serta memudahkan kita untuk terjerumus ke kancah hutang.

Hutang yang tidak berjaya dibayar boleh menyebabkan diri kita jadi jatuh muflis. Oleh itu, adalah penting untuk kita semua untuk tidak melakukan proses perbelanjaan di luar kemampuan diri kita sendiri sehingga boleh menyebabkan diri kita terjebak dalam kancah hutang serta menjadi muflis.

Dengan mengambil kira keadaan persekitaran ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu pada masa kini, adalah penting untuk kita semua menjadi seorang pengguna yang bijak merancang ketika berbelanja serta mengamalkan budaya berjimat cermat.

Setiap pengguna harus merancang perbelanjaan mereka sebelum mereka keluar dari rumah untuk berbelanja. Mereka harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika ingin membeli sesuatu barangan. Proses perbelanjaan harus diutamakan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas kepada diri mereka dan bukannya berdasarkan kehendak hati atau nafsu mereka.

Pengguna yang bijak juga adalah pengguna yang rajin bandingkan harga barangan yang dijual antara satu kedai dan kedai yang lain. Pengguna juga haruslah menjadi seorang pengguna yang berani dengan tampil berani mempertahankan hak mereka dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang didapati melakukan aktiviti yang mencurigakan seperti aktiviti pencatutan atau pengambilan untung secara yang tidak munasabah.

Sambutan hari raya juga bukan lesen untuk kita menukar segala perkakas yang ada di rumah dan membeli barang-barang baru seperti perabot, karpet, langsir, dan lain-lain lagi. Di dalam perkara ini, kita harus mempraktikkan amalan kitar semula dan mengunakan daya kreativiti supaya rumah kita dapat kelihatan menarik sepanjang masa.

Segala barangan lama yang ada di rumah boleh diubahsuai, disusun atur kembali atau dibersihkan supaya ia kelihatan bersih dan baru.

Kehidupan kita semua tidak hanya berpaksi terhadap sambutan hari raya semata-mata. Kita masih memerlukan banyak wang untuk menjalani kehidupan seharian selepas tamatnya musim raya nanti.

Adalah lebih baik sekiranya kita melakukan amalan berjimat cermat serta bijak berbelanja untuk sambutan hari raya. Amalan menabung, menyimpan atau melabur wang perlu dilakukan demi masa depan diri dan keluarga. Segala perbelanjaan perlulah dilakukan secara sederhana dan mengikut keperluan dan bukannya mengikut kehendak hawa nafsu. Salam Aidilfitri untuk semua umat Islam.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS