Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
'Bubar AMK jika anak muda tak patut sertai politik'
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Bagi pihak Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan, saya ingin menyuarakan kekesalan saya akan kenyataan yang telah dibuat oleh YB Wong Chen Ahli Parlimen Subang di dalam akaun Instagram beliau hari ini. 

Kenyataan yang telah dibuat beliau telah menggambarkan bahawa kesemua individu-individu yang menyertai politik pada yang usia muda akan terjerumus di dalam politik tikam belakang dan tidak akan mempunyai pengalaman untuk mengetahui bagaimana dunia berfungsi.

Pihak kami bersetuju dengan beliau bahawa memang terdapat segelintir kepimpinan politik anak muda yang berkecenderungan ke arah politik kotor seperti yang telah digambarkan beliau. 

Namun begitu kami tegas memegang kepada prinsip kami untuk menolak sebarang usaha untuk memukul-rata kesemua ahli-ahli politik yang masih muda di dalam satu kelompok yang sama.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan YB Wong Chen bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti politik yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin politik yang telah menyertai politik pada usia yang muda. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat misalnya telah aktif dalam kancah politik tanahair sejak tahun 1969, ketika beliau masih berumur 22 tahun. 

Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat pula telah aktif di dalam kancah politik tanah air sejak beliau berumur 23 tahun ketika beliau bertugas sebagai pegawai khas kepada menteri pendidikan pada tahun 1987.

Bagi pihak Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menghargai jasa-jasa kepimpinan politik anak muda yang telah bertungkus-lumus membantu dalam usaha untuk menjatuhkan rejim kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 yang dahulu. 

Saya yakin bahawa tanpa kepimpinan politik anak-anak muda pada pilihan raya umum yang dahulu, tidak mungkin bagi Pakatan Harapan untuk memegang tampuk kerajaan pada hari ini memandangkan anak-anak muda telah mencatat sejarah dengan undian yang tertinggi pada pilihan raya umum yang lalu.

Persoalan kami kepada YB Wong Cheng, siapakah yang akan mengangkat suara dan agenda anak-anak muda negara jika tiada langsung representasi anak muda di dalam politik tanah air. 

Dengan itu, Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan ingin mencabar beliau untuk mencadangkan usul kepada pihak biro politik parti untuk membubarkan sahaja sayap anak muda Parti Keadilan Rakyat ini. 

Anak-anak muda telah bersuara untuk menjatuhkan rejim kerajaan Barisan Nasional kerana mereka meminggirkan suara anak muda, kerajaan Pakatan Harapan harus belajar daripada kesilapan mereka sebelum terlambat.


NA'IM BRUNDAGE ialah ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS