Berita yang mana satu yang betul?
Saya bukan wartawan, jauh sekali seorang ahli sains.
Tetapi saya hairan bagaimana berita dari sebuah agensi berita iaitu Bernama berbeza dari berita di Utusan Malaysia sedangkan diterbitkan pada hari yang sama dan memetik sumber yang serupa.
Kedua-duanya memetik kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Apakah ini bermakna JAS mengeluarkan dua kenyataan akhbar yang berbeza? Satu kenyataan untuk terbitan Bernama , satu siaran lagi untuk Utusan Malaysia ?
Dalam berita Bernama , tidak disebutkan kandungan amonia itu 10 kali ganda daripada biasa. Dan menurut akhbar Utusan Malaysia pula "kandungan ammonia yang masuk ke sungai adalah 10 kali daripada tahap yang dibenarkan."
Akhbar ini juga melaporkan JAS menuduh Syabas (pembekal air di Selangor dan Kuala Lumpur) tidak merawat air dengan baik! Sebab itu amonia yang bercampur klorin itu berbau seakan-akan najis seperti didakwa oleh ramai penduduk pada akhir bulan Februari lalu.
Laporan Bernama yang disiarkan dalam laman web mStar Online : "JAS berkata dalam kejadian air berbau di Lembah Klang pada 25 Feb lepas, kandungan ammonia air sungai itu yang belum dirawat didapati tinggi iaitu pada paras 9.2 mg/I, melebihi standard air minuman ditetapkan Kementerian Kesihatan iaitu 1.5mg/I."
Tetapi Utusan Malaysia dalam laman webnnya pula menulis begini: "Menurut kenyataan JAS itu, kandungan ammonia pada paras 9.2 mg/l yang berada dalam sistem air minuman penduduk Lembah Klang pada 25 Februari itu adalah melebihi piawaian Kementerian Kesihatan. Piawaiannya hanyalah 1.5 mg/l."
Saya bingung membaca dua berita ini, kedua-duanya bersumberkan kenyataan JAS!

