Paling Popular
Terkini

Wira Putra berasa ragu apabila membaca berita atas talian daripada The Star berkenaan penangguhan pembentangan pemansuhan hukuman mati mandatori di parlimen seperti yang dinyatakan akan dibentang pada minggu hadapan oleh Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri. 

Adalah difahamkan isu ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen sebelum ia dibentang semula di dalam parlimen. Wira Putra berpandangan tiada keperluan hal ini dilaksanakan dan sewajarnya hukuman mati mandatori ini kekal seperti sedia ada.

Kerajaan wajib mengekalkan hukuman mati mandatori kerana ia bukan sahaja memberi keadilan pada keluarga mangsa.

Malah ia juga demi memastikan kedaulatan undang-undang negara tak dicalar oleh pihak yang berkepentingan yang mempunyai kuasa dan mampu mempengaruhi keputusan kehakiman jika ia tetap diubah kepada hukuman penjara 30 tahun atau seumur hidup di atas budi bicara hakim masing-masing.

Pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ini juga akan membuka ruang kepada hal ini untuk tetap diusulkan di parlimen. 

Ia hanyalah 'delay tactic' yang digunakan bagi mengalih perhatian orang awam dan usaha untuk menghapuskan hukuman mati tetap akan berlangsung.

Cadangan penangguhan ini seharusnya diubah kepada membatalkan terus cadangan dari mengusulkan pemansuhan unsur mandatori hukuman mati ke atas 11 kesalahan jenayah serius. 

Kesalahan jenayah yang kejam dan tidak adil pada si mangsa perlu diberi hukuman yang setimpal. Walaupun ada kumpulan minoriti yang menyokong hukuman mati ini dimansuhkan dengan alasan tiada bukti konkrit berikutan wujudnya hukuman mati boleh mengurangkan kesalahan jenayah yang serius, tetapi ia merupakan satu pendidikan kepada rakyat untuk berhati-hati dalam melakukan suatu tindakan yang mampu mengarah kepada berlakunya kesalahan jenayah yang serius.

Wira Putra tidak bersetuju usaha memansuhkan hukuman mati mandatori ini diteruskan. Wira Putra akan terus bertegas dan mendesak kerajaan agar hukuman ini tidak dimansuhkan. 

Wira Putra tidak teragak-agak untuk turun ke jalanan bersama keluarga-keluarga mangsa dan rakyat bagi memastikan hak dan kepentingan majoriti rakyat ini tidak dipandang ringan oleh kerana desakan-desakan kumpulan minoriti yang berkepentingan.


NASRUL ALI HASAN ABDUL LATIF  ialah Ketua Wira Penaja PUTRA Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS