Paling Popular
Terkini

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan parti sama ada di peringkat negeri mahupun nasional berkenaan polemik pemilihan Pemuda Amanah merupakan suatu yang amat dialu-alukan.

Sungguhpun demikian, menjadi tanggungjawab kami untuk memperbetulkan persepsi yang wujud rentetan maklumat separuh masak yang telah tersebar tanpa meneliti duduk letak perkara sebenar.

Kaedah 'cai' sebagaimana yang pernah dialami oleh kepimpinan parti Amanah ketika bersama dalam PAS dahulu merupakan kaedah berkempen secara rahsia, yang disusun beberapa orang untuk mempengaruhi perwakilan dengan memilih orang-orang tertentu yang mereka mahu naikkan.

Kaedah ini kemudiannya dilengkapkan dengan senarai nama yang hanya tersebar sewaktu hari membuang undi - dikenali sebagai 'cai'.

Ternyata berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pemuda ketika ini. 

Kempen berpasukan yang diusahakan secara terbuka dengan hashtag tertentu mewakili kumpulan dan lebih penting, disertakan dengan gagasan dan idea untuk diteliti perwakilan di setiap peringkat.

Bahkan kumpulan-kumpulan ini juga sebahagiannya telah menyertakan profil setiap calon yang mahu bertanding lebih awal, supaya perwakilan boleh meneliti kredibiliti dan prestasi mereka sebelum membuat keputusan di kotak undi.

Melalui pemakluman awal calon yang berhasrat untuk bertanding, ditambah gagasan dan idea yang mahu ditawarkan, kempen berpasukan yang sedang digerakkan Pemuda Amanah ketika ini sebenarnya lebih telus dan bertanggungjawab.

Kami tidak menyusun kelompok secara sembunyi-sembunyi, bahkan segala gerak kerja kempen dizahirkan dengan terbuka di media-media sosial.

Paling utama, garis merah untuk tidak menyerang peribadi sama ada secara langsung atau pun tidak, telah pun disepakati bersama.

Dengan penuh takzim, kami memohon agar kepimpinan dan senior parti di setiap peringkat maklum dan jelas dengan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Pemuda dalam meraikan proses demokrasi dalam parti.

Secara keseluruhannya, kami memahami kebimbangan yang wujud namun usah dikekang pembaharuan yang mahu dikedepankan ini dengan maklumat tidak benar. Sekali lagi, mohon dibezakan 'cai' dan kempen berpasukan.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS