Saya salah seorang kakitangan baru berkhidmat di Jabatan Alam Sekitar (JAS) semenjak tahun Mei 2005. Sekarang ini saya sedang mengikuti program asas kakitangan baru selama tiga bulan. Sepanjang beberapa bulan saya di JAS beberapa pemerhatian telah saya lalui dan saya berpendapat JAS masih ketinggalan di dalam mengekalkan identitinya sebagai agensi

penguatkuasaan.

Apa yang ingin saya luahkan adalah mengenai kepincangan-kepincangan yang berlaku di dalam pentadbiran JAS terutamanya yang melibatkan pengurusan atasan JAS yang tidak berwawasan dan berkarisma di dalam pentadbirannya.

Baru-baru ini JAS telah memperkenalkan sistem kerja baru berasaskan senarai tugas yang diperbaharui berkonsepkan "staff reengineering" kerana 80 peratus kakitangan JAS tidak mempunyai latarbelakang kejuruteraan dan tidak memahami kerja-kerja teknikal yang dilakukan.

Anggapan buruk pengurusan atasan ke atas kakitangan bawahannya mengenai pengetahuan teknikal telah mengundang jurang yang begitu besar terutamanya kepada kakitangan baru seperti kami. Walaupun JAS telah mengadakan "road show" untuk menerangkan faedah dan cara melaksanakan tugas baru di semua peringkat negeri tetapi ia tidak mencapai objektif sebenar penyenaraian semula tugas berkenaan.

Rata-rata kakitangan bawahan seperti kami melihat senarai tugas baru ini, seolah-olah untuk menjaga kepentingan pihak pengurusan atasan kerana telah memberikan ruang kepada penjenayah alam sekitar untuk menjalankan operasinya dengan lebih licik dan berselindung di sebalik kerja-kerja murni kami.

Sebagai contohnya seorang pegawai kawalan alam sekitar menjalankan tugas memproses lesen dan beliau akan bertanggungjawab daripada mula permohonan diterima sehingga selesai mengeluarkan lesen sedangkan sebelum ini pegawai yang memproses lesen hanya menjalankan pemeriksaan berkaitan sahaja dan tidak dibenarkan mengeluarkan lesen berkenaan.

Senarai tugas baru ini akan mendedahkan pegawai berkenaan kepada gejala salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Saya suka menarik minat para pembaca mengenai perjumpaan khas di antara Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kakitangan JAS di Bangi pada 6 Mac 2006 yang lepas. Perjumpaan ini dihadiri bersama pengurusan tertinggi JAS. Perjumpaan yang singkat tersebut telah membuka mata kami kakitangan bawahan terhadap kesungguhan pihak atasan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan membaiki alam sekitar.

Di awal sesi tersebut, Datuk S Sothinathan telah memberikan peluang kepada kami untuk menyuarakan apa yang terbuku di dalam hati selama ini. Sikap terbuka beliau untuk mendengar keluhan kami telah memberi harapan besar agar corak kepimpinan JAS dapat berubah dan menyelesaikan banyak perkara dalaman terutamanya hal-hal kebajikan yang selama ini

diabaikan.

Namun, seperti kata pepatah di sangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengahari, pemergian Datuk S Sothinathan kerana tugas penting telah menyebabkan pihak pengurusan yang hadir semasa sesi tersebut mengambil alih dan mula mengugut, mengancam dan menekan kami kerana luahan-luahan tersebut.

Seperti selalu yang kami dengar, ancaman pindah pejabat yang jauh, tekanan suruh berhenti kerja, menggugat markah prestasi dan sebagainya. Malah sikap ego pengurusan tertinggi melaungkan kata-kata "bukan bapak kau punya pejabat" telah menghancurkan harapan kami untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan bersemangat.

Tan Sri KSN pernah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai kebebasan kakitangan awam membuat aduan kepada beliau, JPA dan BPA mengenai pucuk pimpinan Jabatan yang gagal dan melaksanakan diskriminasi di dalam urusan pejabat serta melakukan salah guna kuasa walaupun tanpa tandatangan.

Sayugia, kami maklumkan bahawa berpucuk-pucuk surat telah dikemukakan kepada mereka yang berwajib malah ditandatangani namum tiada sebarang tindakan telah diambil. Paling memalukan kami apabila seorang Pembantu Peribadi di JAS mengatakan surat aduan tersebut tidak sampai kepada Jabatan berkenaan kerana beliau telah mengarahkan Pembantu Peribadi di Jabatan berkenaan menyerahkan kepadanya di atas alasan menjaga nama baik bos .

Merujuk kepada insiden pencemaran alam sekitar yang berlaku semasa ini, telah menggambarkan betapa kepimpinan JAS ketandusan idea, hilang hala tuju dan tidak berwibawa untuk membawa JAS ke arah kecemerlangan.

Kelemahan JAS telah menyebabkan masyarakat menanggung derita dan kerajaan kehilangan berjuta-juta ringgit untuk melakukan langkah kawalan. Seruan Tan Sri KSN agar setiap agensi kerajaan bersikap proaktif bukan reaktif seolah-olah tidak diendahkan oleh JAS.

Sebagi contoh isu terbaru mengenai pencemaran air di Sungai Selangor. Tuduhan melulu JAS ke atas punca-punca berpotensi untuk mencemar tanpa kajian mendalam amat mendukacitakan. Malah sehingga hari ini JAS akan terus dibelengu dengan masalah syok sendiri dan tidak tahu apa perlu buat .

Saya berpendapat, JAS sepatutnya telah bersedia dan menggunakan pendekatan terkini yang sedia ada iaitu dengan menggunakan sistem telemetri pengawasan kualiti air yang telah diberikan konsesinya oleh JAS kepada ASMA Sdn Bhd di mana data-data ini diperolehi secara online setiap jam.

Data-data pengawasan ini pastinya telah menunjukkan perubahan kualiti air semasa dan tugas JAS hanyalah memaklumkan kepada SYABAS ataupun PUAS untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kegagalan JAS mengawalselia ASMA amat mendukacitakan apatah lagi data-data yang bertimbun di JAS tidak dianalisa untuk tujuan perancangan penempatan punca-punca pencemar.

Akhir sekali saya ingin mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Penambahbaikan JAS terlebih dahulu sebelum menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Alam Sekitar.

Penubuhan Suruhanjaya ini adalah lebih kritikal kerana kepincangan kepimpinan JAS akan terus berleluasa dan akan menggagalkan segala usaha Jawatankuasa tersebut. Selagi pemimpin-pemimpin JAS tidak diberikan kesedaran dan ditegur tentang tugas dan tanggungjawab sebenar yang harus dipikul selagi itu masalah pencemaran alam sekitar akan dianggap remeh.