Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Daripada tragedi anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ke isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, daripada perselisihan faham di jalan raya yang membawa maut ke isu kilang Lynas. Semuanya menimbulkan pertikaman lidah yang seolah-olah tidak mengenal pengakhirannya.

Mentaliti kita masih di takuk lama dalam era Malaysia Baru - maksudnya banyak lagi yang kita perlu usahakan.

Siapa yang salah sebenarnya? Adakah semua ini tercetus akibat anasir politik perkauman yang melampau?

Tidak. Ambillah cermin dan lihat diri sendiri.

Semua ini berlaku di depan mata kita. Tidakkah kita berasa malu dengan keadaan ini? Saya sendiri cukup malu melihat pertikaman lidah yang sedikit sebanyak mengikis keutuhan perpaduan negara.

Malaysia bukan milik mana-mana parti politik atau institusi. Malaysia milik setiap warganya yang berpegang erat pada prinsip dan nilai Persekutuan Malaysia.

Menjelang 56 tahun bersama dalam persekutuan ini, apakah yang kita mahukan untuk negara?

Negara-negara jiran kita sudah melonjak lebih jauh ke hadapan tetapi kita belum puas berpolitik dan terjun ke dalam polemik yang amat membazirkan masa dan tenaga.

Tepuk dada, tanya selera. Inikah yang kita benar-benar mahukan>

Ramai yang merasakan negara kini berdepan krisis. Saya setuju tetapi ia adalah krisis identiti dan nilai sebuah negara bangsa. Ia sesuatu yang sukar dan ramai yang terperangkap di takuk mentaliti lama.

Sembilan belas hari lagi, kita menyambut hari kemerdekaan, diikuti dengan Hari Malaysia tak lama kemudian. Ramai yang telah terkorban dan akan sedia berkorban demi negara. Pada masa sama tetap ada yang masih berselisih dalam isu-isu remeh dan tidak bermanfaat.

Kemerdekaan ini bukat setakat bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi penjajahan pemikiran lama.


NORMAN GOH merupakan bekas wartawan Malaysiakini yang berasal dari Bumi Kenyalang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS