Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejak akhir-akhir ini banyak pihak mempersoalkan keberkesanan serta kecekapan agensi penguatkuasaan yang terlibat di dalam menguatkuasakan akta dan perundangan yang berkaitan dengan kawalan pencemaran serta perlindungan alam sekitar dan sumber asli negara.

Kejadian pelupusan haram sisa toksik, pelupusan haram sampah sarap industri dan domestik, penerokaan hutan simpan, penggondolan tanah tinggi, penyeludupan haiwan yang dilindungi dan sebagainya mencerminkan kegagalan agensi penguatkuasaan di dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ssejajar dengan keperluan akta dan peraturan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah program penguatkuasaan dan pematuhan yang dirangka serta dilaksanakan oleh agensi pengutkuasaan itu benar-benar dilaksanakan mengikut acuan yang disusun dan dirancang.

Apakah indikator prestasi yang digunapakai bagi mengukur keberkesanan program penguatkuasaan tersebut?

Bagaimanakah peruntukan belanjawan tahunan agensi berkenaan diagihkan kepada program penguatkuasaan dan bagaimana pula prestasi output yang dihasilkan olehnya?

Betapa pula dengan bilangan perjawatan yang telah diluluskan oleh kerajaan,adakah benar-benar telah digunakan secara optima?

Maklumat-maklumat ini penting bagi menunjukkan sejauh mana keberkesanan program penguatkuasaan yang telah dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan yang dikuatkuasakan, menilai semula kepincangan perundangan ataupun program yang telah dilaksanakan, mengukur prestasi penambaikan terhadap kualiti alam sekitar tertentu serta memberi justifikasi dan kredibiliti yang sewajarnya terhadap program penguatkuasaan itu sendiri.

Tanpa maklumat-maklumat tersebut banyak pihak tidak dapat menilai ataupun menghargai sumbangan kejayaan yang telah dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan yang terbabit.

Namun demikian perlu diingatkan bahawa pendedahan maklumat-maklumat ini juga perlulah bersandarkan kepada kesahihan data serta penganalisaan yang tepat.

Manipulasi data serta pelaporan yang tidak tepat akan menyebabkan peruntukan serta belanjawan yang diluluskan kerajaan bagi pelaksanaan program ini menjadi sia-sia belaka. Maklumat yang tidak tepat akan mengakibatkan keputusan pelaksanaan sesuatu dasar menjadi celaru dan tidak menepati pencapaian sasaran program.

Usaha-usaha yang bersepadu perlulah dimulakan bagi mewujudkan indikator prestasi bagi mengukur keberkesanan aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan alam sekitar ini.

Dalam jangka panjang ia dapat menunjukkan komitmen kerajaan dalam pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar bagi menjamin kesejahteraan, kesihatan serta kebajikan rakyat.

Di samping itu juga perlindungan terhadap sumber asli negara dapat dipertingkatkan dari kegiatan pencerobohan yang semakin berleluasa. Melalui indeks prestasi ECE (environmental compliance and enforcement) ini, badan bukan kerajaan juga akan dapat menilai akauntabiliti program.

Pertubuhan-pertubuhan serta agensi antarabangsa juga dapat menilai keberkesanan pembiayaan yang disumbangkan bagi pelaksanaan program yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pematuhan alam sekitar tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS