Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saya menulis kenyataan ini sebagai respons kepada penilaian separuh masak yang dibuat oleh Mariam Mokhtar dalam tulisannya di Malaysiakini terhadap prestasi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sepanjang tempoh beliau memegang jawatan berkenaan.

Kritikan Mariam hanya memberi tumpuan terhadap dakwaan-dakwaan bertaraf rendah mengenai prestasi Dr Maszlee, dalam masa sama terdapat pelbagai usaha dan pencapaian penting yang telah digerakkan melalui agenda reformasi pendidikan.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada Mariam sedar atau tidak dengan perkara ini.

Pertamanya, kita semua harus jelas bahawa bukan semua ahli politik baharu dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai kehandalan dan pengalaman untuk berhadapan dengan media atau menjawab soalan-soalan daripada mereka.

Kebebasan media yang telah dikembalikan oleh kerajaan PH menjadikan ia satu ruang pembelajaran berguna dalam berhadapan dengan khalayak umum dan media yang kian mencabar. 

Justeru pelbagai usaha strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan melibatkan pembaharuan dasar wajar diberikan perhatian menyeluruh.

Melaksanakan reformasi dalam universiti awam boleh disifatkan sebagai satu perjalanan panjang dan mencabar. 

Kita sendiri tahu bagaimana sektor penting ini sudah melalui campur tangan politik yang melarat sejak bertahun-tahun lalu di bawah pentadbiran terdahulu.

Sehingga kini, di bawah kepimpinan Dr Maszlee, KPM telah melaksanakan perkara-perkara berikut.

Pertama, menubuhkan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilihan Naib Canselor Universiti pada September 2018. Jawatankuasa ini terdiri daripada kelompok sarjana dan intelektual yang bebas dan dihormati.

Sejak penubuhannya, Jawatankuasa ini telah mengadakan pelbagai sesi perbincangan terbuka dengan Dr Maszlee. 

Kini Jawatankuasa ini telah diberikan peranan mencari calon-calon terbaik Naib Canselor untuk ditempatkan dalam sistem pendidikan tinggi awam negara.

Ini merupakan langkah pemula yang dicetuskan oleh Dr Maszlee. 

Secara umumnya, Jawatankuasa ini kemudiannya akan diberikan peranan untuk menyusun semula sistem pendidikan tinggi negara agar mampu memainkan peranan yang sewajarnya.

Kedua, satu bahagian paling penting dalam pembangunan dasar dan sistem pendidikan ialah aspek integriti dan kebertanggungjawaban individu dan institusi yang terlibat di dalamnya.

Pada penghujung tahun 2018, Dr Maszlee secara peribadi telah membangunkan Jawatankuasa Integriti Akademik bagi menerima aduan dan menyiasat kes-kes salah laku yang melibatkan institusi pendidikan tinggi negara.

Antara salah laku yang diberikan perhatian ialah plagiarisme dan gangguan seksual. 

Jawatankuasa ini akan melaporkan secara terus semua penemuan mereka kepada Menteri Pendidikan dengan memberikan cadangan-cadangan bernas untuk membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang bersih dan kukuh.

Ketiga, berbeza dengan laporan segelintir media dan persepsi salah, usaha untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan cadangan untuk memansuhkan halangan terhadap kebebasan akademik di bawah Akta 605 sedang giat berjalan.

Sekali lagi, Dr Maszlee berjaya memainkan peranan utama dengan melibatkan kelompok sarjana dan pakar yang kritikal dan berpandangan jauh dalam usaha bersejarah ini.

Tiga contoh ini saya percaya sudah mencukupi buat ketika ini untuk melihatkan bagaimana kepimpinan Dr Maszlee jelas dari segi visinya untuk membawa sistem pendidikan tinggi negara ke arah lebih baik dan memiliki nilai persaingan yang kuat di peringkat antarabangsa berpaksikan kepada aspek integriti, kebebasan dan pengukuhan kepimpinan intelektual.

Saya dan pasukan amat gembira untuk sentiasa berbincang dengan pihak media dan penulis-penulis yang cakna dan kritikal seperti Mariam Mohktar.

Saya boleh dihubungi di [email protected] dan pintu perbincangan sentiasa terbuka untuk kita semua.


ZUL FIKRI ZAMIR ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS