Paling Popular
Terkini

Saya merujuk sebuah rakaman video yang tular dalam kalangan warga maya yang memaparkan seorang wakil belia dengan ucapan berapi-api menyalahkan kerajaan dalam sebuah dewan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Saya terpanggil untuk menjelaskan latar belakang perkara ini. Sesi tersebut merupakan satu majlis Kongres Belia Malaysia, yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru pada 15 September 2019.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah diamanahkan oleh Pemangku Raja Johor untuk mempengerusikan jawatankuasa kerja bagi menjayakan program ini.

Menjadi kewajipan saya melaksanakan tugas sebaik mungkin apatah lagi program belia seperti ini adalah dibawah seliaan portfolio saya.

Berkaitan satu rakaman video yang tular, ucapan tersebut telah berlaku dalam salah satu sesi pada Kongres yang berlangsung yang telah dimoderatorkan oleh Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama seorang panel Prof Madya Dr Haslinda Abdullah, Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM.

Saya memandang isu dan sentimen yang dibangkitkan dalam video tersebut sebagai suatu kebiasaan dalam mana-mana sesi dialog di mana pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dan tampil menyatakan pendapat mereka.

Sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip kebebasan bersuara dalam kalangan anak-anak muda, pastinya saya dengan besar jiwa menerima apa jua kritikan mahupun kecaman dari pihak-pihak tersebut terhadap kerajaan, baik di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Mohd Syahbuddin Hashim.

Individu yang berucap dalam video tersebut adalah Mohd Syahbuddin Hashim, Adun Umno kawasan Galas, Kelantan dan difahamkan juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan merupakan Pengerusi Tetap MBM pada ketika ini. Persatuan ini terlibat secara langsung dengan Majlis Belia Malaysia dan kehadiran beliau dalam majlis tersebut tidak perlu dipertikaikan.

Namun demikian, saya memperhalusi dua perkara yang telah dibangkitkan oleh beliau dalam video tersebut iaitu berkenaan isu pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga bantuan dana kerajaan kepada persatuan belia.

Sungguhpun saya boleh menjawab kritikan yang dilontarkan itu, namun pada hakikatnya kedua-dua perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian dan juga PTPTN itu sendiri.

Adalah tidak adil untuk saya mengulas atau menjawab kritikan tersebut atas kapasiti seorang Exco di peringkat nengeri.

Namun, yang menarik pada kritikan tersebut ialah, individu yang mengkritik dengan nada berapi-api ini pada suatu masa dahulu, tidak pun mengendahkan isu hutang ini.

Tetapi setelah hilang kuasa, maka berdegar-degar mengkritik tanpa memberikan apa-apa idea untuk membantu menyelesaikan isu ini bersama kerajaan.

Kerajaan PH pada hari ini mengamalkan dasar "siapa mahu maju, sila tampil ke hadapan", bukan lagi disuap-suap seperti sebelum ini. Isu geran kepada persatuan belia, dahulunya memang ‘disuap’ bulat-bulat.

Tetapi hari ini, mana-mana persatuan belia yang mahu aktif menyumbang kepada ‘empowerment’ belia, mereka harus memohon dana daripada kerajaan. Ini prinsip yang harus difahami oleh pengkritik.

Bermaksud, dana kepada persatuan belia itu tetap ada, tetapi perlu dipohon dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Bukan seperti memberi ‘cek kosong’ yang mudah disalahgunakan.

Perkara ini telahpun dijelaskan oleh Menteri Belia dan Sukan semasa persidangan Majlis Perundingan Belia Negara yang lalu.

Perubahan ini memberi keadilan kepada semua kerana mana-mana persatuan belia yang berdaftar mahupun yang tidak berdaftar dibawah Register Of Youth (ROY), masih layak memohon dana tersebut asalkan kertas kerja yang baik dan lengkap mengikut garis panduan yang telah ditetapkan turut dikemukakan.

Sungguhpun memang ada persatuan belia yang ‘mesra pembangkang’ atau mana-mana pihak, mereka tetap dilayan seadilnya berdasarkan polisi baharu ini. Inilah antara beberapa penjelasan yang boleh saya kongsikan.

Sayangnya, saya tidak ada dalam sesi tersebut. Maka saya tidak dapat menjawab secara langsung dengan pengkritk tersebut.


SHEIKH UMAR BAGHRIB ALI merupakan Adun Paloh dan Exco Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS