Terimalah hakikat kenaikan harga minyak
Kebelakangan ini heboh tentang kesan kenaikan harga minyak. Tetapi kalau dikaji betul-betul, kenaikan harga minyak tidak banyak mendatangkan kesan atau perubahan harga yang besar dalam kehidupan seharian.
Cuma kenaikan kepada kos perjalanan ke pejabat dan sebagainya. Jadi kita hanya perlu bijak mengguna kenderaan. Itupun tidak banyak hanya melibatkan antara RM30 hingga RM50 sebulan untuk kereta 1,500cc.
Sebenarnya kalau dikira betul-betul, subsidi ini banyak menguntungkan pihak yang menggunakan kereta besar kerana lebih banyak menggunakan minyak lebih banyak subsidi kerajaan yang mereka nekmati.
Kenaikan barangan pula, tidak meluas umpamanya harga ikan dan sayuran masih sama. Sebab kos pengangkutan lori tidak banyak berubah. Masih sama kerana satu tangki penuh lori tiga tan melibatkan kenaikan RM30 disel yang boleh bergerak sehingga 500km.
Kenaikan barangan seperti susu, milo, coklet, kopi, dan bermacam-macam lagi itu adalah kerana kenaikan kos pengangkutan barangan import. Walaupun kerajaan tidak menaikan harga minyak barangan ini tetap akan naik juga kerana kos pengangkutan kapal, kapal terbang naik kerana harga minyak yang dibeli dari luar.
Rakyat harus faham dari sudut ekonomi kerajaan berusaha mengurangkan pengantungan kepada minyak dalam kehidupan seharian. Demi untuk menjaga kedudukan ekonomi negara. Supaya kita tidak terperangkap dengan krisis ekonomi di masa depan. Sebab itulah kerajaan terpaksa menaikan harga minyak semoga rakyat mencari alternatif lain dan berjimat kerana minyak ini menjadi tarungan kuasa-kuasa besar.
Semakin ramai yang menggunakan minyak menyebabkan harga minyak terus meningkat. Jadi kita kena bersedia untuk mengurangkan penggunaan minyak. Satu hari kelak semua sabsidi minyak yang kita kecapi akan ditarik balik. Pada masa itu ekonomi kita akan parah sekiranya kita tidak bersedia dari sekarang.
Dalam RMK9 jelas kita boleh lihat. PM begitu jujur mengatakan kenaikan 30 sen ini akan terus berlaku pada tahun berikut sehingga habis RMK9, maknanya sehingga tahun 2010. Walaupun beliau tahu pilihanraya 2008/9 pasti belaku dan boleh menjejaskan parti kerajaan. Ini bermakna, kenaikan ini tidak melibatkan politik dan bukan lahir dari rancangan politik parti pemerintah. Ini adalah usul dari pakar-pakar ekonomi yang menentukan arah ekonomi di masa depan.
Semoga semua pembaca sedar akan perkara ini adalah benar-benar hal ekonomi dan bukan politik.

