Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bidang pendidikan pada minggu ini digegarkan dengan dua insiden yang memalukan. Pertama, insiden provokasi di Majlis Konvokesyen Universiti Malaya dan kedua, tajuk kontroversi debat Piala Tun Razak.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyelar kedua-dua insiden tersebut kerana tidak melambangkan adab dan sopan santun seorang anak Malaysia yang menjunjung kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Insiden provokasi di Universiti Malaya tidak kena pada tempatnya dan mengguris hati ribuan graduan lain yang mahu menikmati detik bersejarah setelah mereka bertukus-lumus belajar selama empat tahun di universiti.

Jika bercakap soal hak asasi kebebasan bersuara, apakah hak pelajar tersebut untuk merosakkan suasana konvokesyen yang mahu dinikmati oleh ribuan graduan lain. Perbuatan seperti ini jelas menunjukkan rendahnya emotional euotient (EQ) atau “kecenderungan emosi” walaupun kini bergelar siswazah.

DPIM turut menggesa parti politik lain tidak menangguk di air keruh untuk menggesa pemecatan naib canselor kerana ucapan di Kongres Maruah Melayu.

Apa yang rasisnya jika Dr. Abdul Rahim Hashim mengutarakan fakta bahawa dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal?

Dr Mahathir Mohamad dalam amanatnya turut menyatakan bahawa kerajaan hari ini tidak kuat kemelayuannya berbanding kerajaan terdahulu.

Kontroversi kedua berkenaan tajuk debat yang tidak menghormati adab orang Islam di bumi Malaysia. Apa signifikasi tajuk debat berkaitan homoseksual dan mempersoal al-Quran untuk kemajuan pelajar-pelajar kita?

Negara kita bukan negara liberal yang memberikan kebebasan seluas-luasnya tanpa sebarang undang-undang.

Tajuk debat haruslah dipilih untuk memberikan kebaikan kepada anak muda, bukan memesongkan ajaran agama masing-masing.

Seharusnya tajuk debat berkisarkan polisi pendidikan, ekonomi, alam sekitar, undang-undang dan masa depan negara menjadi tajuk utama.

DPIM menggesa siasatan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan untuk mengajar pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian agama dan kaum pada hari ini.

Selamatkan Malaysiaku!
#SelamatkanMalaysiaku
#SaveMyMalaysia
#MuafakatNasional
#PemudaIkatan
#Ubahbalik


SHAHIR ADNAN ialah ketua DPIM Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS