Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
Signifikankah satu kerusi Berjasa di parlimen?

PRK TG PIAI | Bersempena Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai, ada rakyat yang bertanya kepada pihak BERJASA: “Adakah signifikan satu kerusi BERJASA di parlimen sekiranya Tok Badh menang dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai?”

Jawapan kami ialah ya, sangat signifikan berdasarkan 3 sebab berikut:

1. Berjasa mengajak rakyat Malaysia mengetepikan amalan politik kepartian yang sempit apabila berbicara berkenaan isu kemaslahatan ummah;

2. Keperluan dan kepentingan meramaikan Muslim berwibawa di parlimen;

3. Menjaga hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Islam serta hak kaum-kaum lain berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Menolak amalan politik kepartian sempit

Berjasa sedar dan faham bahawa dalam sistem demokrasi negara, peranan nombor dan jumlah ahli parlimen daripada sesebuah parti amat memainkan peranan yang penting.

Disebabkan itu, Berjasa amat memuji tindakan dan keputusan Umno dan PAS yang bersepakat menolak tuntutan meratifikasi Icerd suatu ketika dahulu sehingga berjaya membentuk Muafakat Nasional Umno-PAS pada hari ini.

Permuafakatan umat Melayu Islam tanpa mengira parti politik inilah yang diperlukan demi menjaga hak-hak orang Melayu dan kedaulatan Islam dalam negara.

Sekiranya MCA dan DAP boleh bersepakat dalam mempertahankan sistem persekolahan vernakular dan mengiktiraf UEC, mengapa tidak parti-parti politik Melayu Islam bersepakat dalam mempertahankan hak orang Melayu dan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan?

Seruan kesepakatan umat Melayu Islam demi kemaslahatan ummah inilah yang diperjuangkan oleh Berjasa tanpa mengira parti politik.

Meramaikan Muslim berwibawa di parlimen

Pasca PRU-14 yang lepas, pelbagai isu yang melukakan hati umat Islam di Malaysia telah berlaku seperti isu LTTE, penyebaran komik mempromosikan fahaman komunis di sekolah-sekolah, pemergian arwah Adib, usaha meratifikasi Icerd, golongan LGBT yang semakin lantang bersuara dan pelbagai lagi isu cukup mendukacitakan umat Islam di Malaysia.

Tapi sayang seribu kali sayang, ahli-ahli parlimen Muslim, khususnya dalam Pakatan Harapan telah gagal membawa suara umat Islam di parlimen kerana terpaksa tunduk dengan tuntutan DAP, konflik dalaman dan pecah belah sesama parti, terlalu sibuk merebut jawatan dan pelbagai lagi isu yang jelas membuktikan ketidakwibawaan mereka dalam menerajui kerajaan yang merupakan mandat daripada rakyat.

Oleh itu, dalam kerangka pemikiran yang lebih besar, dengan menangnya Tok Badh dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, bukan sekadar Berjasa mendapat satu kerusi, bahkan sebenarnya kita sedang meramaikan jumlah ahli parlimen Muslim berwibawa untuk mempertahankan kedaulatan Islam dalam negara.

Hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Islam

Seperti mana yang kita tahu, undang-undang tertinggi dalam negara ialah Perlembagaan Persekutuan yang menjaga hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan serta hak-hak kaum-kaum lain di Malaysia.

Pun begitu, saban hari semakin ramai pihak yang mencabar keluhuran perlembagaan yang selama ini menjadi benteng yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Oleh itu, Berjasa akan terus setia mempertahankan hak orang Melayu, kedaulatan Islam serta hak-hak kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan Tok Badh juga seringkali menyatakan dengan tegas bahawa:

“Kesepakatan Melayu tanpa menafikan kaum-kaum lain di Malaysia ialah kunci kepada sebuah kerajaan yang kukuh.”

Cukup dengan tiga hujah ini, maka terbuktilah bahawa kemenangan Tok Badh daripada Berjasa, atau dalam kerangka yang lebih besar, kemenangan calon muslim berwibawa adalah sangat signifikan serta memberi banyak manfaat khususnya kepada umat Islam di Malaysia, dan umumnya kepada seluruh rakyat

InsyaAllah.

Ingat! Undi calon Muslim berwibawa! Islam berdaulat Malaysia sejahtera!


AD SATIMAN ialah Ketua Pemuda Berjasa Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS