Perlantikan naib canselor tentukan hala tuju universiti
Pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat antara kayu ukur utama ketamadunan sesebuah kehidupan. Universiti yang dianggap pusat kecemerlangan ilmu akan sentiasa menjadi tumpuan dalam mana-mana sejarah tamadun manusia.
Persekitaran dan masyarakat yang terbentuk di sana merupakan komuniti yang ideal dan menjadi teladan kepada masyarakat teramai. Justeru, universiti perlu sentiasa diberi perhatian apatah lagi kerajaan turut mensasarkan pembangunan modal insan dalam Misi Nasional Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan meletakkan universiti antara pemacu utama dalam menjayakan misi tersebut.
Ia selaras dengan pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan. Harapan yang begitu menggunung seolah-olah berada di persimpangan samada mampu direalisasikan atau sekadar harapan apabila diukur dengan reputasi universiti-universiti awam negara ini yang tidak disenarai dalam 100 universiti terbaik dunia oleh Times Higher Education Supplement (THES) tahun lalu.
Ianya menjadi antara indikator untuk dinilai. Justeru, peluang melantik semula Naib Canselor/ Rektor beberapa buah universiti yang terus menjadi tanda tanya termasuk di Universiti Malaya dilihat medan terbaik yang wajar dimanfaatkan.
Pentadbiran sesebuah universiti sememangnya memainkan peranan penting dan memberi pengaruh yang besar dalam meningkatkan prestasi universiti sekaligus menjayakan misi nasional yang menjadi harapan negara.
Penentuan Naib Canselor/Rektor universiti patut berlandaskan kriteria-kriteria tertentu dan mengambil kira aspek-aspek lain termasuk pandangan kakitangan akademik dan para mahasiswa.
Kakitangan akademik dan mahasiswa merupakan dua komponen penting yang menunjangi komuniti di universiti. Kakitangan akademik dan mahasiswa mempunyai kredebiliti masing-masing dan pandangan mereka juga perlu diberi perhatian dan dinilai.
Seseorang calon Naib Canselor Rektor universiti juga boleh dinilai berdasarkan reputasinya yang terkini. Misalnya, beliau pernah diamanahkan sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sebelum ini, maka bahagian-bahagian yang pernah diselia olehnya seperti kolej-kolej kediaman, badan-badan mahasiswa, bahagian keselamatan, serta hubungannya dengan para mahasiswa boleh menjadi pengukur reputasinya sebelum dilantik ke jawatan yang lebih tinggi.
Di Universiti Malaya sebagai contoh telah wujud Unit Penjaminan Kualiti Universiti Malaya (Qamu) yang juga boleh dirujuk untuk membantu melengkapkan maklumat seseorang calon yang terdiri dari kakitangan yang telah sedia berkhidmat di universiti itu.
Naib Canselor/Rektor universiti yang terbaik mampu merealisasikan harapan negara.
Penulis adalah Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

