Harga minyak yang tinggi akan dapat menyedarkan atau mendidik rakyat kita agar lebih berjimat cermat. Agama kita pun mengajarkan supaya tidak membazir, malah perbuatan membazir itu dikaitkan dengan tabiat syaitan.

Biasanya orang yang mampu memiliki kereta terutama kereta yang enjin berkuasa tinggi adalah dari kalangan yang berada. Kepada orang-orang ini harga minyak bukanlah menjadi satu masalah besar atau beban kepada mereka.

Malah mereka langsung tidak memikirkan bahawa minyak yang digunakan ini akhirnya akan kekeringan. Pada waktu itu banyak mana pun duit yang kita ada tidak akan dapat membeli minyak lagi.

Harga petrol yang rendah telah membuatkan kita menggunakannya dengan sewenang- wenangnya. Kita langsung tidak pernah memikirkan bagaimana hendak menggunakan petrol secara cekap dan berjimat.

Oleh itu sudah sampai masanya kita merancang penggunaan kereta supaya dapat kita gunakan seminimum yang mungkin. Umpamanya kita boleh rancang untuk membeli barang keperluan kita atau barang-barang dapur dari hypermarket sekali untuk setengah bulan atau sekali untuk sebulan.

Jadi tak perlulah kita guna kereta beli barang dapur tiap-tiap hari. Dan kita boleh gunakan motorsikal atau berjalan kaki saja untuk ke kedai yang hampir dengan rumah kita untuk barang tambahan yang diperlukan.

Kita juga boleh merancang untuk uruskan dua tiga perkara yang hendak kita lakukan dalam satu perjalanan. Sebagai contoh kalau kita terpaksa pergi bayar bil elektrik, bil air dan bil telefon di pejabat pos, sebaiknya kita lakukannya sekali gus pada masa yang sama bukan pada hari-hari yang berlainan.

Kalau kita sama-sama berusaha untuk menjimatkan penggunaan minyak, bukan saja kita dapat melambatkan kehabisan sumber bahan api ini tetapi juga kita dapat mengurangkan permintaan minyak.

Tinggi rendah harga barangan adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Jika penawaran melebihi permintaan, harga barang menjadi murah.

Sebaliknya jika permintaan suatu barangan terlalu tinggi sedangkan penawarannya tidak banyak atau terhad, akan membuatkan harga barangan melambung tinggi.

Sebagai pengguna kita perlu sentiasa menggunakan barang-barang keperluan termasuk minyak secara jimat cermat untuk menjaga harga barangan berada pada tahap rendah.

Golongan yang berada juga perlu berjimat cermat dan tidak membazir kerana sikap yang baik ini dapat membantu mengekalkan harga barangan pada tahap yang rendah dan tentunya akan melegakan orang ramai. Harga barang tidak pernah membezakan orang kaya dengan orang berpendapatan rendah.

Saya juga bersetuju jika harga petrol dinaikkan dengan menarik semua pemberian subsidi ke atasnya. Harga minyak yang tinggi sekurang-kurangnya akan dapat menyedarkan orang ramai untuk lebih berjimat cermat menggunakan bahan ini.

Dalam pada masa yang sama saya berharap pihak kerajaan dapat mengurangkan malah menghapuskan sama sekali bayaran cukai jalan kenderaan. Terasa rugi juga kalau tidak banyak melakukan perjalanan semata-mata kerana menjimatkan minyak sedangkan kita kena bayar cukai.

Cukai jalan dikenakan sebab kenderaan kita menggunakan jalanraya, tetapi kalau kita kurang menggunakan jalan raya sepatutnya dikurangkan bayaran cukai jalannya. Mungkin boleh difikirkan juga cukai jalan dibayar mengikut jauh kilometer perjalanan yang dilalui oleh kenderaan tersebut dalam masa setahun. Sama seperti kita melalui jalan bertol, lagi jauh perjalanan kereta kita lagi banyaklah tol yang kita kena bayar.

Kadar bayaran tol untuk kenderaan yang membawa barang seperti lori dan pengangkutan awam seperti bas juga patut diturunkan serendah yang mungkin, ini dapat mengurangkan kos barangan dan tambang, seterusnya dapat menjadikan harga barang-barang jualan kita lebih murah dan kompetitif.