Jumlah sokongan 114 MP 'sangat mencemaskan'
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikuti dengan teliti Pengumuman Yang di-Pertuan Agong yang menamakan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.
Dengan pengumunan itu, kami juga berpendirian tugas perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, sudahpun berakhir kerana calon pengantinya sudah dinamakan.
Namun atas sikap demokrasi terbuka dan ketelusan, PSM amat mengharapkan Agong dapat mengumumkan jumlah sokongan ahli parlimen yang diperolehi Muhyiddin memandangkan terdapat pelbagai versi jumlahnya, serta jumlah yang didakwa diperolehi oleh Mahathir.
Jika diandaikan jumlah yang diperolehi oleh Muhyiddin hanyalah 114 - seperti yang dilaporkan - maka ia adalah satu jumlah yang amat mencemaskan, kerana hanya tiga orang ahli parlimen saja diperlukan untuk menguilingkan perdana menteri kelapan Malaysia.
Maka PSM amat mengharapkan Dewan Rakyat dapat dipanggil untuk bersidang dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut politik ini secara terbuka.
Dengan adanya sidang berkenaan, ia akan membolehkan 222 ahli parlimen menentukan nasib perdana menteri.
PSM juga berharap sehingga sidang tergempar Dewan Rakyat itu berlangsung, tidak ada pelantikan kabinet dibuat kerana ia akan merumitkan sahaja keadaan.
Jika kemelut ini berpanjangan dengan ahli parlimen 'berlari' ke sana ke sini mencari pengaruh dan sokongan baru, maka amat munasabah untuk pilihan raya umum diadakan pada masa yang singkat bagi membolehkan rakyat membuat pilihan.
Kami juga menyarankan kerajaan sementara (caretaker) harus diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya dan bukannya kepada perdana menteri interim, atau kerajaan sebelumnya.
Pada masa-masa sebegini, PSM amat mengharapkan hak rakyat seperti berhimpun secara aman, mendapat sumber maklumat yang betul dan bebas tidak akan dikongkong atau disalah guna.
S Arutchelvan ialah timbalan pengerusi PSM.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

