Ketika politik negara kita bergelut dengan polemik peralihan kerajaan pintu belakang baru-baru ini, tidak dapat dinafikan bahawa para pengundi PH menaruh harapan yang tinggi untuk melihat PH masih bertahan walau siapa pun perdana menterinya.

Asalkan atas nama kerajaan PH. Para pengundi PH sudah terbiasa dengan situasi Dr Mahathir Mohamad memimpin negara melalui PH untuk tempoh hampir dua tahun ini. Oleh itu, pengundi PH juga rata-ratanya tidak kisah untuk Dr Mahathir kembali memimpin kerajaan, asalkan bukan di bawah Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional.

Saya juga percaya ramai pengundi PH menaruh harapan yang tinggi ketika Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seluruh ahli parlimen mencalonkan nama beliau sebagai perdana menteri.

Iyalah, tak mungkin pengumuman sedemikian dibuat jika PH tidak mempunyai nombor yang mencukupi bagi membentuk kerajaan. Namun, hasilnya hampa apabila PH sebenarnya tidak pun memperolehi sokongan yang mencukupi di kalangan ahli parlimen.

Akibatnya, PH mengalihkan sokongan mereka kepada Dr Mahathir pula. Walaupun begitu, peralihan sokongan ini sudah terlambat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya dinobatkan sebagai perdana menteri. Penyokong PH hampa sekali.

Melihat kepada permainan politik pimpinan tertinggi PH ini, saya merasakan para pimpinan PH khususnya Anwar perlu bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemudi kerajaan PH.

Pertamanya, Anwar gagal untuk mendapatkan pengaruh di kalangan ahli parlimen yang sedia ada agar memilihnya sebagai perdana menteri.

Sekiranya Dr Mahathir bersetuju untuk menyerahkan takhta perdana menteri kepada Anwar selepas persidangan APEC sekalipun, adakah presiden PKR itu yakin bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi di kalangan ahli parlimen untuk menerimanya sebagai perdana menteri?

Jika senario hari ini dibawa ke hadapan iaitu selepas Persidangan APEC sekalipun, Anwar tetap terdedah kepada situasi beliau berkemungkinan ditolak oleh majoriti ahli- ahli parlimen; iaitu situasi yang sama seperti hari ini.

Tempoh setahun lebih ini nampaknya belum cukup untuk Anwar mendapatkan sokongan di kalangan ahli-ahli parlimen yang ada. Lebih malang, 11 orang ahli parlimen PKR sendiri menolak beliau. Ahli sendiri gagal untuk ditarik, ada hati hendak tarik sokongan dari parti lain?

Keduanya, jika transisi jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar berlaku dengan aman sekalipun, ia masih belum cukup untuk beliau mendabik dada mengatakan beliau menerima sokongan yang baik daripada pengundi-pengundi PH.

Anwar harus menyedari bahawa tidak semua pengundi muda hari ini kenal siapa itu Anwar Ibrahim. Ketika PH berjaya menumbangkan regim BN, Anwar ketika itu berada di dalam penjara. Malah, kita tidak dapat nafikan bahawa faktor Dr Mahathir juga amat kuat sepanjang tempoh berkempen tersebut hingga sokongan rakyat bertalu-talu disalurkan kepada PH.

Mereka yang terbiasa dengan aura Anwar adalah mereka yang melalui fasa reformasi 1998. Zamannya amat jauh, 22 tahun yang lalu. Kini, pengundi muda PH lebih terbiasa dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail berbanding Anwar.

Pengundi wanita dan pengundi muda PH sudah lama terpesona dengan kewibawaan dan kecekalan Dr Wan Azizah. Simpati kepada Dr Wan Azizah juga amat kuat. Pengundi PH juga sudah terbiasa melihat Dr Wan Azizah memimpin.

Merit kepimpinan beliau termasuk sebagai bekas timbalan perdana menteri sudah terbukti. Merit kepimpinan Anwar hendak ditonjolkan berasaskan apa?

Justeru, saya percaya tempoh yang ada kini merupakan tempoh yang amat genting dan penting bagi Anwar membina pengaruhnya di kalangan para pengundi PH.

Jika pengaruh para ahli parlimen kini sukar ditagih, maka binalah pengaruh di kalangan para pengundi di luar sana. Tempoh tiga tahun untuk pilihan raya umum mendatang bukanlah lama. Lebih baik PH membina sokongan yang solid dengan mendapatkan undi yang tulen daripada mereka yang ingin menolak pemimpin belot dan kleptokrasi.

Rakyat kini sudah kenal siapa pemimpin yang belot dan khianat. Justeru, rakyat kini sudah bersedia untuk dipimpin. Maka, ambil kesempatan ini untuk memimpin mereka.

Rakyat sudah penat dengan polemik perkelahian politik. Rakyat mahukan pemimpin yang mempunyai sokongan yang solid, dipercayai dan boleh bekerja untuk mereka.


NOORAZMIR ZAKARIA merupakan seorang peguam merangkap Speaker Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi dan tidak semestnya mencerminkan pendirian Malaysiakini.