Memang jadi tabiat manusia ingin dapat apa yang dihajatinya dalam masa yang cepat. Bila kita hendak pergi ke sesuatu tempat, kita ambil jalan pintas, sekalipun jalan pintas itu kadang kala boleh mengundang bahaya.
Lawan kepada sifat terburu-buru atau ingin cepat ini ialah sabar. Sabar adalah sifat mulia yang sangat disukai oleh Tuhan. Manusia yang sabar selalunya akan dianugerah Tuhan dengan kejayaan.
Kerana hendak menjadi kaya cepat ada orang buat kerja haram yang menyalahi agama dan undang-undang. Buat skim cepat kaya, tipu orang, lari dari cukai, dan berniaga barang yang diharamkan oleh kerajaan.
Malah ada yang mengambil langkah nekad dengan melakukan pecah amanah duit syarikat,terima rasuah, merompak bank, menculik, mengedar dadah, menjual VCD lucah dan menjual bahan cetak rompak kerana hendak kaya cepat.
Ada yang sanggup gadai maruah jadi perempuan simpanan dan jadi ibu ayam, cara senang untuk jadi kaya.
Kejayaan yang sebenar adalah kejayaan yang bermula dari bawah. Kejayaan yang didapati melalui jalan pahit getir membuatkan kita lebih menghargai kejayaan tersebut.
Ahli perniagaan segera yang mendapat kekayaan melalui kekuatan pengaruh politik selalunya tidak dapat bertahan lama, kerana mereka tidak pernah melalui ujian dan pengalaman susah payah dan selok belok membina sesuatu perniagaan.
Banyak kita dengar cerita orang-orang yang berjaya dalam bidang perniagaan, yang mempunyai empayar perniagaan yang mencecah billion ringgit bermula dari bawah. Mereka bermula dari perniagaan kecil.
Usaha gigih dan sabar adalah satu-satunya jalan yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan yang kita dapat melalui jalan pintas yang tidak diredai akan membawa kita kepada kesudahan yang buruk.
