SURAT

Nilai kejujuran di saat dugaan melanda

Ben Zack

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mac 2020, 12:49 tengahari

Seperti kata orang-orang bijaksana, "Mereka yang jujur meyakini kebenaran". Sebab itu penting bagi sesiapa sahaja untuk bersifat jujur.

Kejujuran adalah penting dalam kehidupan bermasyarakat kita hari ini. Kita semua saling bergantung dan segala yang berlaku adalah tanggungjawab kita bersama.

Bukan niat saya untuk menyumbat minda anda dengan nasihat klise tentang kejujuran tetapi nilai tersebut saya lihat semakin hari semakin penting untuk diketengahkan.

Lebih-lebih lagi dengan apa yang dihadapi oleh lebih 30 juta rakyat Malaysia kini.

Rakyat sedang berdepan dengan dugaan yang sangat besar. Covid-19 sedang menular dalam kalangan kita. Kita semua kini merasai hidup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 19 kematian ekoran virus berkenaan, dengan 1,796 kes positif dilaporkan.

Rakyat setiap hari diminta tidak keluar atau membataskan pergerakan ke luar rumah. Namun begitu, malangnya degil juga merupakan sifat manusia. Ada yang tidak patuh arahan pihak berkuasa.

Selain itu, ada yang tidak jujur dan menyembunyikan sejarah perjalanan ke luar negara atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif Covid-19.

Hanya selepas prosedur dan rawatan selesai, maklumat kritikal itu didedahkan. Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Keselamatan petugas kesihatan dan fasiliti perubatan sudah pun terjejas.

Bukan sahaja golongan ini tidak jujur kepada orang lain tetapi juga diri mereka sendiri. Apa guna mereka menipu? Tidak sedarkah mereka yang tindakan itu membawa kemudaratan kepada orang lain?

Perlu diingatkan, adalah menjadi satu jenayah sekiranya maklumat kritikal seumpama itu disembunyikan atau tidak didedahkan.

Bayangkan apa perasaan doktor dan jururawat yang terpaksa menanggung kemudaratan daripada sikap mementingkan diri ini?

Barisan depan perubatan yang saban hari bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit, akhirnya menjadi mangsa virus itu sendiri dan terpaksa dikuarantinkan. Apa perasaan mereka?

Adalah menyedihkan apabila dilaporkan, sebanyak 15 petugas kesihatan termasuk tiga daripada mereka dari sektor kesihatan swasta telah dijangkiti Covid-19 manakala seorang daripada mereka berada di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Bayangkan kalau mereka ini saudara mara kita? Rakan-rakan kita? Apa kita rasa?

Oleh itu, saya ingin tekankan lagi, kejujuran merupakan satu sifat yang menzahirkan keikhlasan hati pemiliknya dalam menyatakan sesuatu. Jujurlah dengan rasa bertanggungjawab demi kepentingan bersama.

Sambutlah seruan Kementerian Kesihatan agar orang ramai dan pesakit untuk jujur dan tidak menyembunyikan maklumat sehingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasilitinya.

Tampil ke depan jika mempunyai risiko penyebaran jangkitan. Lakukan demi tanggungjawab universal kita sebagai manusia.

Yang penting, jujurlah kepada diri sendiri. Sanggupkan kita melihat orang yang tidak bersalah menanggung bebanan yang dahsyat ini? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.


BEN ZACK ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.