Memahami konsep #KitaJagaKita
Zaman generasi Internet of things (IOT) ini tidak mewajibkan kita terikat dengan mana-mana entiti untuk berkembang maju. Sebagai contoh, artis tak semestinya memerlukan label rakaman untuk popular, usahawan tak perlu lagi bergantung dengan gerai Mara untuk meletakkan produk mereka. Nak menjual dan mengeluarkan kain tudung, tak semestinya perlu membuka kilang. Begitulah berbezanya zaman IOT ini.
Dinamika baharu dari perkembangan IOT ini, belum banyak berlaku dalam konteks parti politik. Konsep keterbukaan atau inklusiviti parti-parti politik terhenti setakat untuk membuat ‘sembang santai’ di kalangan orang awam khususnya golongan muda.
Pendekatan politik kebanyakkan parti pasca Mei 2018 pada umumnya masih belum banyak berubah. Ini kerana status quo dalam hirarki organisasi dan hegemoni pimpinan yang masih kuat berakar.
Lihat saja bagaimana Zahid Hamidi boleh menang jawatan presiden Umno menewaskan watak muda seperti Khairy Jamaludin yang lebih digemari oleh golongan muda. Semua ini adalah manifestasi parti yang tidak bergerak seiring dengan gaya hidup rakyat di zaman IOT.
Masalah politik kepartian ini berakar dari tuntutan kesetiaan kepada susuk pemimpin, sebahagian yang lain kerana tuntutan ‘carma’. Perkara ini sudah menjadi alami (nature) sejak zaman kerajaan Melayu Melaka lagi. Nak kata salah tak boleh, nak kata benar pun susah. Ini realiti yang diamalkan.
Namun, golongan muda yang produktif diluar sana pula tidak mudah memberikan ketaatan atau kesetiaan kepada satu-satu susuk pemimpin. Rata-rata sifat orang muda dari generasi IOT ini lebih percayakan sistem daripada wala’ kepada susuk pemimpin tertentu.
Mereka percaya dengan sistemlah yang akan memberi mereka peluang, ruang dan kebebasan untuk memajukan diri dan menikmati hidup yang lebih berkualiti, bukan pemimpin politik.
Sama ada parti politik mahu mengikut dan mengadaptasi entiti mereka dengan arus ini, atau kekal dan percaya dengan status quo mereka, sama-sama kita lihat. Namun, dunia akan tetap berubah sekalipun parti politik mahu terus kekal begitu. Justeru, kerja mengubah keadaan adalah tugas kita, kita jaga kita.
Watak-watak lama dalam semua parti politik, harus direhatkan sepertimana kita berjaya merehatkan Najib Razak. Setelah Muhyiddin Yassin naik menjadi perdana menteri, kita tak sepatutnya membenarkan seorang lagi watak lama yang melepasi usia 60 tahun untuk menjadi PM lagi selepas ini.
Jika menumbangkan Najib bukan lagi kerja yang mustahil, memiliki PM yang muda dengan idea baharu, mesti boleh. Kita yang putuskan, ini era kita, #kitajagakita.
MAHDZIR IBRAHIM ialah anggota jawatankuasa DAP Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

