Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak ada orang yang layak untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Inilah tanggapan rakyat Malaysia semasa era Dr Mahathir berkuasa dahulu.

Tanggapan seperti ini secara sengaja atau tidak ia perlu diwujudkan dan dipupuk di kalangan rakyat kerana ia adalah baik untuk menjaga perpaduan dan kestabilan politik, terutamanya dalam Umno.

Rasanya tanggapan seperti ini bukan saja wujud semasa Dr Mahathir menjadi PM tetapi berlaku juga pada PM yang lain sebelum itu.

Tidak pernah kita dengar rakyat mengatakan adanya orang yang layak menggantikan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak atau Tun Hussein Onn menjadi PM.

Mungkin Dr Mahathir telah terlalu lama menjadi PM sehingga dia berasa begitu yakin dengan tanggapan orang ramai itu walaupun ketika tidak menjadi PM lagi. Tanggapan yang mengatakan tidak ada orang yang lebih layak untuk menjadi PM selain dari beliau itulah yang terbawa-bawa oleh beliau hingga hari ini.

Semasa Dr Mahathir menjadi PM beliau banyak memberi tumpuan kepada projek-projek mega. Beliau mahu dunia kagum dengan projek mega yang dibina oleh Malaysia. Apa saja binaan yang terbesar, terpanjang, tertinggi, terhebat, mesti berada di Malaysia.

Dr Mahathir percaya dengan pembinaan projek-projek ini kononnya akan merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia.

Rakyat digalakkan melancong dalam negeri, cuti umum ditambah untuk memudahkan rakyat pergi bercuti. Dengan itu kononnya, sektor pelancongan terutamanya hotel-hotel akan berkembang.

Semua agensi kerajaan yang ada kalau boleh hendak diswastakannya. Pada fikiran beliau bila diswastakan, agensi-agensi kerajaan itu akan menjadi lebih cekap dan lebih berdaya saing. Kononnya lebih banyak keuntungan akan diperolehi jika diswastakan, ini akan dapat memberi banyak keuntungan kepada pelabur, seterusnya dapat menarik lebih ramai pelabur asing dan domestik.

Itulah teori ekonomi Dr Mahathir, tiada perkataan pembaziran dalam kamus ekonomi beliau.

Tidak dinafikan memang ada projek dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Dr Mahathir membawa manafaat atau faedah kepada rakyat tetapi dalam pada itu banyak juga yang menjadi gajah putih dan membebankan rakyat.

Dr Mahathir terlalu ghairah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Kalau negara maju ada bangunan yang besar, tinggi dan indah, ada rangkaian lebuhraya yang panjang, sistem pengangkutan dan perhubungan yang canggih, Dr Mahathir juga mahu Malaysia ada segala-galanya itu.

Tetapi hendaklah kita ingat, negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, membina binaan yang hebat-hebat itu setelah rakyat mereka mendapat kemudahan hidup yang selesa. Mereka punya bangunan atau binaan yang hebat tetapi dalam masa yang sama tidak ada rakyat mereka yang hidup di rumah-rumah setinggan. Apabila kehidupan rakyat benar-benar telah terbela barulah mereka beralih untuk membina projek mega.

Tidakkah kita berasa malu bila kita punya bangunan KLCC yang besar dan tinggi, Putrajaya yang besar dan indah tetapi masih ramai rakyat tinggal di rumah-rumah setinggan yang keadaannya lebih baik sedikit dari reban ayam itu.

Apabila agensi kerajaan diswastakan, keuntungan menjadi matlamat mereka. Tanpa keuntungan syarikat tidak boleh bergerak dan akhirnya boleh gulung tikar kalau tidak diselamatkan.

Cara paling mudah mendapat keuntungan ialah dengan mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi kepada rakyat.sepanjang yang kita lihat kadar bil air, bil elektrik, bil telefon untuk kemudahan rakyat sentiasa naik dari tahun ke tahun.

Pada zaman Dr Mahathir lah kita dapat lihat bercambahnya hospital swasta. Pada zaman beliau jugalah bilangan biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke IPTA dikurangkan dengan banyaknya malah diganti dengan pinjaman PTPTN.

Apalah ertinya kita ada prasarana dan infrastruktur kelas pertama di dunia tetapi diisi oleh orang-orang yang mempunyai kualiti setakat kelas ketiga. Sepatutnya kita kenalah membelanjakan sebahagian besar wang negara untuk menghasilkan manusia berilmu, terlatih, berkemahiran tinggi, sihat fikiran, sihat tubuh badan.

Kita percaya pembentukan sumber manusia kelas pertama perlu diutamakan terlebih dahulu dari yang lain-lain kalau kita ingin menjayakan cita-cita menjadi sebuah negara maju.

Tidak ada salahnya kalau kerajaan membelanjakan wang yang besar dalam menyediakan kemudahan pembelajaran dan latihan kepada rakyat, serta kemudahan dalam menjaga kesihatan rakyat kerana sumber manusia yang berkualiti adalah satu-satunya jalan yang ada untuk kita mencapai negara maju.

Pendekatan PM Abdullah dalam mengutamakan bidang pertanian adalah satu pandangan yang bijaksana walaupun sesetengah orang menganggapnya sebagai cadangan lekeh dan ketinggalan zaman.

Dari dahulu hingga sekarang makanan adalah keperluan utama manusia. Kita masih boleh hidup jika tidak ada rumah yang cantik atau tidak ada kenderaan tetapi kita tidak boleh hidup tanpa makanan. Manusia sanggup membunuh atau berperang kalau tidak dapat makan. Apabila manusia sudah ada cukup makanan barulah mereka boleh membuat perkara-perkara lain.

Dengan mengutamakan dan memberi penekanan kepada bidang pertanian, kita akan dapat mengeluarkan hasil pertanian yang banyak yang menjadi asas kepada makanan kita. Bila hasil pertanian dapat dikeluarkan dengan banyak, barang makanan akan dapat dijual dengan yang harga rendah .

Secara tidak langsung kos kehidupan rakyat akan menjadi rendah dan dengan sendirinya kadar kemiskinan dapat dikurangkan dengan banyaknya.

Pendekatan Pak Lah lebih berpijak di bumi nyata berbanding Dr Mahathir yang ibarat bermegah dengan istana kayunya yang lambat laun akan runtuh dimamah anai-anai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS