Selagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini menjalani kehidupan secara berasingan mengikut kaum masing-masing, selagi itulah sukar untuk kita melihat satu parti politik yang tidak berasaskan kaum wujud di negara ini.

Sekalipun DAP mendakwa partinya bukanlah parti yang mewakili kaum tertentu tetapi semua orang tahu parti itu adalah seperti parti kepunyaan orang Cina. Begitu jugalah dengan Parti Keadilan Rakyat masih tidak dapat mencerminkan sebuah parti yang mewakili rakyat Malaysia yang sebenar. Sebuah parti politik itu hanya boleh dikatakan sebagai mewakili rakyat Malaysia dan tidak berasaskan kaum jika ahli-ahlinya mencerminkan komposisi kaum di negara ini.

Oleh kerana kaum-kaum di negara ini menjalani kehidupan mereka secara berasingan yang bermula dari sekolah yang berasingan kemudian bekerja di lapangan yang berasingan maka sukar bagi mereka untuk bergaul dan berkawan rapat antara satu kaum dengan kaum yang lain. Tidak hairanlah apabila mereka hendak membentuk persatuan, membuat apa-apa rancangan, hendak menjalankan perniagaan termasuk juga hendak menubuhkan parti politik atau untuk masuk parti politik, mereka akan mencari rakan-rakan kenalan mereka sahaja.

Selagi kita semua tidak mahu menggalakkan anak-anak kita bergaul dan berkawan rapat maka selagi itulah kita tidak dapat melihat satu badan, syarikat, pertubuhan yang betul-betul mewakili komposisi rakyat Malaysia. Peluang yang terbaik untuk anak-anak kita dapat berkawan dan bergaul ialah dengan mengumpulkan mereka di sekolah yang sama.

Seharusnya usaha kerajaan untuk menggalakkan anak-anak tidak kira kaum belajar di sekolah yang sama perlu mendapat sokongan dari semua pihak demi keutuhan perpaduan bangsa pada masa depan. Kita juga hairan bagaimana DAP yang mendakwa parti yang tidak berasaskan kaum telah menentang sekolah wawasan yang dianjurkan oleh kerajaan bagi membantu merapatkan jurang perkauman di negara ini.

Sepatutnya DAP lah yang lebih ke depan dalam hal ini kerana ia selalu mendakwa partinya tidak menggalakkan wujudnya perkauman. Kalau DAP sendiri ingin melihat partinya benar-benar mewakili komposisi kaum negara ini seharusnya dari sekarang ia kena mengambil langkah untuk merapatkan jurang perkauman di negara ini, kalau tidak DAP hanyalah bermimpi di siang hari sahaja.