SURAT | Berhentilah jadi polis moral
Saya merujuk kepada kenyataan Dr Wan Norashikin Wan Noordin, exco pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan masyarakat negeri Perak yang telah disiarkan oleh sebuah portal berita bahasa Inggeris yang menyatakan bahawa dengan membanyakkan lagi peti perlindungan bayi atau baby hatch akan menggalakkan kelahiran bayi luar nikah.
Saya tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan ini. Matlamat kewujudan peti perlindungan bayi ini adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi dari dibuang di tempat yang tidak diketahui dan tidak sepatutnya.
Menurut laporan dari Yayasan OprhanCARE yang dilaporkan oleh sebuah portal akhbar bahasa Melayu, sehingga tahun lepas ketika kenyataan ini dikeluarkan seramai 369 bayi telah berjaya diselamatkan di seluruh Malaysia.
Sebanyak 221 daripadanya berjaya ditempatkan dengan keluarga angkat manakala 43 kes lagi disatukan kembali dengan keluarga asal bayi.
Seharusnya sebagai seorang exco di bidang yang berkait rapat dengan wanita dan keluarga, Dr Wan Norashikin lebih cakna kepada perkara sebegini dan bukan menjadi polis moral.
Rata-rata kes pembuangan bayi ini dilakukan oleh ibubapa muda yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.
Pada pendapat peribadi saya, jika mereka adalah seorang yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, sudah pasti kehamilan luar nikah ini dapat dielakan.

Namun seperti pepatah melayu menyebut, nasi sudah menjadi bubur.
Sebagai masyarakat, kita tidak seharusnya menjadi polis moral.
Apabila kehamilan yang tidak diingini berlaku, sebagai contoh seperti yang dimaksudkan oleh Dr Wan Norashikin iaitu kehamilan luar nikah, fokus kita seharusnya bukan kepada moral ibu bapa anak yang berada di dalam kandungan.
Fokus kita seharusnya kepada nasib anak itu apabila dilahirkan dan tidak ketinggalan juga emosi si ibu yang hamil.
Kita tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran si ibu serta apa yang sedang beliau lalui sepanjang hamil.
Jadi pada pendapat saya, menjadi polis moral adalah perkara yang paling tidak patut barlaku ketika berhadapan dengan keadaan sebegini.
Baru-baru ini terdapat dua kes bayi baru lahir yang dicampakkan keluar dari rumah oleh si ibu.
Yang terbaru, si ibu baru berusia 16 tahun.
Si ibu tak bersedia untuk menjadi ibu
Antara andaian yang boleh dibuat melalui pemerhatian ke atas kes ini ialah si ibu tidak bersedia untuk menjadi ibu, kurang kefahaman mengenai pendidikan seks yang telah menyebabkan kehamilan luar nikah berlaku dan si ibu mungkin juga mengalami tekanan dan juga postpartum depression.
Seharusnya fokus kita jika kita ingin kehamilan luar nikah ini berlaku ialah dengan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah seawal sekolah rendah.
Seharusnya sebagai seorang exco yang prihatin terhadap kehamilan luar nikah, perkara ini perlu diperjuangkan oleh Dr Wan Norashikin.
Saya amat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.
Pada pendapat saya nyawa bayi dari kehamilan luar nikah adalah lebih penting. Kita bercerita mengenai nyawa.
Dengan memperbanyakan kewujudan peti lindungan bayi ini, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa bayi-bayi yang lahir dari kehamilan yang tidak diingini ini, kita juga memberi sinar baru kepada bayi dan keluarga yang ingin mengambil anak angkat.
Bayi-bayi ini akan mempunyai masa depan yang cerah dan mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara kita di masa hadapan.
Kita juga dapat memberikan satu kehidupan baru kepada si ibu di mana beliau dapat memulakan kehidupan baru, belajar dari kesilapan lampau tanpa perlu dihukum dan dipenjara kerana tindakan jenayah membuang bayi.
Saya berharap Dr Wan Norashikin akan memberikan pertimbangan semula kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.
Ini bukan masa untuk menghukum moral seseorang. Nyawa adalah lebih penting dari menilai kesilapan lampau.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

