Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Sekolah Cina: Pemuda Berjasa kecam janji kerajaan

Akhbar The Star hari ini melaporkan kumpulan pendesak Dong Zong memuji tindakan kerajaan yang memberikan jaminan untuk menambah 10 buah lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan memindahkan enam buah lagi SJKC ke lokasi lebih besar.

Dalam laporan akhbar ini menyatakan presiden Dong Jiao Zong berkata beliau telah diberi jaminan tentang perkara ini oleh Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Lebih mengecewakan lagi, ketika sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini, Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique juga memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa (Angkasa) amat kecewa dengan perkembangan ini.

Sekolah vernakular peninggalan penjajah adalah salah satu faktor utama yang membantutkan usaha perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kumpulan sejarawan, ahli akademik, tokoh sosial dan NGO telah bersuara bahawa perlunya ada satu ketetapan berprinsip untuk sebuah sistem pendidikan yang beridentitikan watan Malaysia.

Sekolah-sekolah tidak seharusnya dipisahkan dek kerana kita tidak mahu menerima bahawa bahasa pengantar yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara.

Justeru, Angkasa mendesak supaya kerajaan menarik semula keputusan tempang ini.

Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja segera bagi menyiasat dan memuktamadkan isu ini supaya tidak menjadi barah perpecahan kaum di Malaysia.

Angkasa juga memanggil kesemua parti komponen Melayu di dalam kerajaan seperti Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin

dan Ketua Pemuda Bersatu , Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk tidak berdiam diri sahaja dalam polemik yang akan merugikan survival perpaduan nasional ini.

Hegemoni MCA dalam kerajaan hari ini telah menenggelamkan kesemua parti politik Melayu.

Demi perpaduan dan masa hadapan yang gemilang, sudah tiba masanya untuk anak-anak kita tidak lagi dipisah-pisahkan bumbung pendidikan mereka.

Satukan mereka bawah satu bumbung pendidikan kebangsaan yang sama.


HAZWAN MOHAMAD adalah ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (Angkasa)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS