Kami mengikuti perkembangan berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 yang melibatkan dana berjumlah RM7,184,083,200 dan diluluskan secara undi belah bahagi pada 17 Ogos lalu.

Kami mendapati peruntukan untuk membiayai kabinet yang dikembangkan menjadi bersaiz besar sebagai kurang berkesan, sebaliknya hanyalah dijadikan alasan untuk melaksanakan dasar scheme of things.

Berbanding menghabiskan peruntukan untuk menubuhkan kementerian baru yang memakan kos ratusan juta ringgit, dana itu sepatutnya disalurkan untuk hal yang berfaedah.

Antaranya:

  1. Membantu golongan miskin bandar sekali gus membanteras kitaran warisan kemiskinan melalui program rintis bersasar secara serius. Kami mendapati realiti semasa anak-anak muda terutamanya mereka yang menetap di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sangat tertekan dengan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan akibat Covid-19 sehingga terpaksa membuat dua kerja dalam satu-satu masa.
  2. Mengagihkan dana tambahan kepada kementerian yang sedia ada, terutamanya Kementerian Sumber Manusia yang boleh digunakan untuk melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU). Disamping memberikan insentif kepada majikan dan pekerja menghadapi cabaran semasa melalui program tersebut, langkah ini dapat mengelakkan kadar pengangguran yang berada di lingkungan 4.9 peratus terus meningkat ke tahap yang lebih membimbangkan.

Kami juga menggesa kerajaan memberi tumpuan penuh untuk menyelesaikan kerencaman permasalahan dasar yang timbul akibat wabak Covid-19 termasuklah melonggarkan kerenah birokrasi yang wujud dalam proses permohonan insentif terutamanya kepada warga kota yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tindakan kerajaan yang bermewah dengan dana tambahan menunjukkan mereka tidak sensitif kepada keadaan semasa ekonomi yang menguncup.

Sikap tidak peka ini turut mengakibatkan penangguhan bayaran elaun kepada pekerja barisan hadapan. 

Kecuaian ini menggambarkan kerajaan tidak prihatin tentang kebajikan mereka yang berkhidmat untuk merawat pesakit Covid-19.


Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli, Anhdeer Supardy Lazuardi (Pemuda Amanah Batu), Mohamed Noor Hafizzuddin Mohamed Razian (Pemuda Amanah Kepong), Mohd Nur Fadhil Ya’cob (Pemuda Amanah Bandar Tun Razak), dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Pemuda Amanah Bukit Bintang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.