Malaysiakini
SURAT

SURAT | Beri peluang pada Saddiq warnai politik Malaysia

Muzaffar Syah Mallow

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Sep 2020, 12:19 pagi

Semua pihak perlu memberi ruang dan peluang sepenuhnya kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mewujudkan sebuah parti politik baru dalam negara kita.

Ini susulan kenyataan ahli parlimen Langkawi yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang tidak yakin parti baru berasaskan orang muda ditubuhkan bekas ketua Pemuda Bersatu akan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Syed Saddiq ada menyatakan hasratnya untuk mewujudkan sebuah sebuah parti politik baru berbilang kaum dengan memberi fokus kepada anak muda.

Kewujudan sebuah parti politik baru dalam negara kita patut dialu-alukan dan diterima dengan hati dan minda yang terbuka oleh semua.

Sama ada parti politik baru ini mampu bertahan atau pun tidak ataupun mampu untuk menang pilihan raya ataupun tidak tidak perlu ditimbulkan sama sekali.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 

Dengan wujudnya parti politik baru, rakyat Malaysia akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih ahli politik bagi mewakili mereka, sekali gus mewarnai pentas politik dalam negara.

Sudah sampai masanya Malaysia memiliki ahli politik yang benar-benar baru dan boleh memahami hasrat dan harapan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, khususnya dari kalangan generasi muda.

Malaysia perlukan sebuah pasukan pimpinan politik baru yang benar-benar dapat memahami keadaan persekitaran semasa yang amat berlainan dengan pada masa dulu.

Keadaan pada masa kini menuntut masyarakat di semua negara termasuk Malaysia untuk lebih bersiap sedia menghadapi dunia moden baru yang canggih dengan pelbagai kemudahan teknologi serta hubungan antarabangsa yang tiada sempadan.

Walaupun begitu, ia tidak bermakna kita harus meminggirkan segala sumbangan yang telah dilakukan oleh generasi lama ini.

Segala sumbangan yang dilakukan oleh generasi lama ini adalah amat dihargai dan akan terus dikenangi sepanjang zaman.

Generasi lama masih boleh memberi sumbangan terhadap pembangunan negara melalui bentuk baru seperti sumbangan idea kepada generasi baru berdasarkan pengalaman serta membantu generasi baru membangunkan negara.

Malaysia kini memerlukan pasukan ahli politik baru yang boleh memimpin negara ke arah yang lebih gemilang serta untuk mengharungi segala dugaan mendatang sesuai dengan keadaan semasa.

Pasukan ahli politik baru ini dijangka dapat lebih memahami hati dan harapan generasi muda yang ingin melihat perubahan dalam perjuangan politik tanah air kerana mereka tergolong dalam kumpulan generasi yang sama dan hampir sama.

Tidak mudah untuk menubuhkan parti politik baru dalam Malaysia kerana mereka perlu melalui pelbagai cabaran dan prosedur mengikut peruntukan undang-undang serta proses mendaftarkannya.

Penubuhan sebuah parti politik baru juga akan melibatkan pengunaan sumber kewangan yang agak banyak bagi menjalankan aktiviti.

Cabaran yang paling utama yang bakal diterima oleh parti politik baru ini adalah bagi menarik orang ramai bagi menyertainya.

Agak sukar untuk menyakinkan orang ramai bagi menyertai mana-mana parti politik baru.

Namun, bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, segala kesusahan dan kesukaran ini dapat dilalui sekiranya orang yang menubuhkan parti baru serta pasukannya bekerja keras dengan ikhlas.

Untuk kekal berjaya dalam dunia politik, parti politik perlu ada matlamat penubuhan yang jelas serta berlainan dengan parti politik sedia ada.

Pemimpin dan pasukan yang bakal menerajui parti politik baru ini juga perlu dipilih melalui proses demokrasi bukannya melalui proses lantikan sesuka hati oleh pihak atasan.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, penyertaan ahli dari kalangan pelbagai kaum dan agama juga perlu diberi penekanan supaya parti politik baru berkenaan menjadi relevan.

Parti politik baru ini perlu membuktikan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa mereka benar-benar mewakili suara baru yang ingin membawa perubahan kepada ke arah kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukannya ingin meraih manfaat buat diri sendiri.

Pasukan yang bakal dipilih bagi memimpin parti politik baru ini juga perlu terdiri daripada mereka yang bersih dan tidak memiliki rekod buruk.

Proses pengistiharan harta setiap pemimpin dan ahli politik perlu dilakukan kepada pihak yang berkaitan supaya orang ramai dapat melihat ketelusan perjuangan parti politik baru ini serta berasa yakin untuk menyertainya.

Setiap individu yang ingin berjuang dalam dunia politik perlu benar-benar ikhlas demi rakyat dan negara serta sanggup mengambil sebarang langkah tidak popular demi kebaikan semua lapisan masyarakat.

Semoga kewujudan parti politik baru ini dapat memberi banyak manfaat kepada negara serta rakyat secara keseluruhanya.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.