Malaysiakini
SURAT

SURAT | Pengangguran belia - sudut pandang lain

Gandipan Nantha Gopalan

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 1:09 tengahari

Pengangguran belia pada kadar 13.1% adalah satu statistik yang amat membimbangkan.

Pemuda PSM berpendapat bahawa perlunya satu anjakan paradigma dalam menangani sistem pendidikan dan peluang pekerjaan di Malaysia.

Pemuda PSM tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh ahli-ahli politik yang lain (tua mahupun muda) yang sering menyalahkan belia di negara ini sebagai golongan yang kurang berkemahiran.

Pendekatan ini sering digunakan oleh ahli-ahli politik yang gagal memahami sistem pendidikan yang telah dilepas tangan kepada pemain-pemain pasaran dan ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kesungguhan politik untuk menambah baik kehidupan seseorang belia.

Pemuda PSM berpendapat bahawa solusi untuk masalah pengangguran harus dimula dengan memperbaiki sistem pendidikan negara kita.

Sistem pendidikan negara, pendidikan tertiari terutamanya, telah banyak dilepas tangan kepada pemain-pemain pasaran.

Kapitalis-kapitalis dalam sistem pendidikan - yang mempunyai institusi pengajian swasta banyak menjalankan program tidak selari dengan perkembangan ekonomi - akhirnya mewujudkan lapisan belia yang gagal mendapat pekerjaan.

Pihak kapitalis juga lebih cenderung mewujudkan lebih banyak graduan daripada yang diperlukan mengikut tawaran pekerjaan yang wujud supaya mereka dapat menawarkan pekerjaan yang lebih menguntungkan (seperti gaji rendah).

Di samping itu sistem pendidikan tertiari pula tidak memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswi yang berminat untuk menimba ilmu mengikut minat mereka, tetapi hanya untuk menghasilkan kelas pekerja yang menguntungkan pihak kapitalis.

Adalah tidak logik apabila sesetengah pihak politik menekankan bahawa universiti patut menjadi kilang yang menghasilkan graduan bagi pasaran sekali gus merendahkan martabat seorang mahasiswa.

Hal ini boleh diatasi dengan penglibatan terus sesebuah kerajaan dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan tertiari negara harus dimilik-negarakan oleh kerajaan kita.

Dengan memiliknegarakan sistem pendidikan tertiari, kerajaan kita boleh mewujudkan kursus-kursus dan program-program pendidikan yang boleh mewujudkan sumber tenaga yang mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara kita mengikut minat setiap mahasiswa.

Selain sistem pendidikan, Pemuda PSM juga ingin mengkritik sikap ahli-ahli politik yang melepaskan tanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan kepada pemain-pemain pasaran.

Pendekatan ini sudah lama terbukti tidak berkesan.

Kerajaan harus memperkenalkan skim pekerjaan terjamin di mana kerajaan boleh mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan dan juga melalui pembukaan industry-industri tempatan.

Dengan memiliknegarakan sistem pendidikan tertiari seperti yang diterangkan sebelum ini, kerajaan boleh melaksanakan pembangunan selaras dengan industri-industri baharu yang diperlukan negara daripada dua pendekatan, iaitu perwujudan modal kewangan serta modal sumber manusia dalam bentuk graduan.

Ini memastikan keadaan material negara bertambah baik dan pekerja yang terhasil betul-betul berminat dalam aliran mereka supaya perasaan pengasingan dalam system kapitalis tidak wujud.

Penglibatan kerajaan yang proaktif dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan akan menjamin pekerjaan yang bermakna dengan gaji wajar, pembangunan negara yang pesat.

Ia juga akan memberi tekanan kepada pihak swasta secara langsung untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi.

Daripada bertabur janji dan menjalankan kempen “satu sudu sawit setiap hari”yang tidak bermanfaat dan tidak progresif, kerajaan bolehlah secara kreatif mewujudkan industri kecil yang melibatkan minyak sawit di kawasan luar bandar yang boleh menambah baik mutu kehidupan rakyat di tempat tersebut.

Ini adalah salah satu contoh inisiatif kecil yang kerajaan boleh ambil untuk mewujudkan pekerjaan.

Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan skim pekerjaan terjamin sebagai satu strategi utama untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

Belia berhak untuk mendapat satu pekerjaan yang stabil, bermakna dan dengan gaji yang bermaruah.

Intervensi kerajaan dalam ekonomi amat diperlukan untuk mewujudkan pekerjaan.


GANDIPAN NANTHA GOPALAN ialah setiausaha Pemuda Parti Sosialis Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.