Pemuda Amanah menyokong sebarang usaha untuk mengembalikan semula mandat yang telah dijual oleh ahli-ahli politik tertentu beberapa bulan lalu.

Usaha mengambil semula dan memulihkan mandat rakyat ini adalah langkah pertama untuk membugarkan semula proses demokrasi di negara kita.

Namun begitu, maruah rakyat hanya boleh ditebus melalui kaedah yang bersih, berintegriti dan penuh bijaksana agar prinsip yang dipertahankan sekian lama kekal utuh.

Dalam kegembiraan meraikan usaha yang tampak makin membuahkan hasil, kami tegas dengan pendirian bahawa tiada ruang harus dibuka untuk berunding dengan rejim kleptokrat, terutamanya individu-individu yang masih dibicarakan di mahkamah seperti Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Bung Moktar Radin dan Abdul Azeez Abdul Rahim.

Apatah lagi dengan individu yang sudah disabutkan bersalah seperti Najib Razak.

Malah, Pakatan Harapan (PH) juga harus menolak sokongan daripada mana-mana ahli parlimen yang bersekongkol dan cuba menjaga kepentingan individu-individu yang terpalit kleptokrasi seperti nama di atas.

Tiada kompromi dalam soal prinsip dan integriti.

Kami menyeru pimpinan PH untuk duduk bersama dan memperhalusi langkah-langkah strategik membentuk semula kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat, dan bukan atas kepentingan politik individu tertentu.


Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Zulhafiz Zulkifli, Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai; Anhdeer Supardy Lazuardi (Ketua Pemuda Batu), Hafizzuddin Razian (Ketua Pemuda Amanah Kepong), Mohd Nur Fadhil Ya’cob (Ketua Penaja Pemuda Amanah Bandar Tun Razak) dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.