Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Mudahkan tugas media buat liputan, bukan sekat

SURAT | Gerakan Media Merdeka (Geramm) kesal dengan larangan terbaru dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia bagi mengehadkan jumlah organisasi media yang dibenarkan membuat liputan sidang Dewan Rakyat bermula 2 Nov hingga 23 Dis.

Hanya 15 organisasi media mewakili 14 agensi tempatan dan satu agensi antarabangsa telah dipilih dengan alasan untuk mematuhi prosedur operasi standard dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Lebih malang lagi, senarai tersebut sama sekali tidak melibatkan mana-mana portal dalam talian tempatan untuk hadir membuat liputan di sidang parlimen yang turut merangkumi pembentangan Bajet 2021.

Setiap agensi selain RTM dan Bernama juga hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar/juru video, serta diwajibkan menjalankan ujian saringan Covid-19 sebelum bertugas.

Dengan tetap mengambil kira kepentingan menjaga keselamatan semua pihak terlibat, terutama #kawangeramm di lapangan, Geramm tegas membantah sebarang tindakan yang dilihat sebagai sekatan ke atas kebebasan media bagi menjalankan tugas.

Sebaliknya, kami menyeru pihak bertanggungjawab bagi membantu memudahkan urusan media bertugas dengan menyediakan ruangan lebih luas di parlimen untuk memenuhi prosedur penjarakan fizikal.

Mengambil contoh liputan pembentangan belanjawan tahunan, media akan hadir ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan reaksi pertama ahli-ahli parlimen serta jemaah menteri.

Ini akan diikuti dengan liputan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Lebih daripada sekadar merakam kenyataan, media juga berperanan penting untuk menyoal apa-apa perancangan yang telah dirangka menggunakan wang rakyat.

Oleh itu adalah amat penting bagi pihak pengurusan parlimen membuka ruang yang luas kepada semua organisasi media untuk hadir membuat liputan sepanjang sidang berlangsung.

Jika sebelum ini media bebas untuk melakukan wawancara di sekitar parlimen, Geramm turut menyeru agar larangan pergerakan yang dikenakan kali ini tidak akan dijadikan alasan oleh mana-mana ahli parlimen atau menteri untuk mengelak dari menjawab apa-apa persoalan yang timbul.

Perlu ada saluran bagi media untuk menuntut mana-mana ahli parlimen atau menteri hadir dan mengadakan sidang media di ruangan yang telah disediakan bagi memberikan penjelasan sekiranya ada.

Antara peranan utama media adalah untuk 'menjaga kerajaan' agar tetap berperanan mengikut lunas undang-undang dan tidak melampaui batas.

Kerajaan tidak perlu 'menjaga media' kerana 'media jaga media'!

Lihat Komen
ADS